AMIRUDIN SHARI
AMIRUDIN SHARI 

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya kini sedang dalam usaha menangani masalah pencemaran di kolam takungan tersebut dengan mengambil langkah awal iaitu membersihkan kawasan tercemar.

“Pencemaran tidak berlaku di Sungai Klang tetapi hanya di kolam takungan tersebut sahaja. Buat masa ini, kita dalam tindakan mengeluarkan semua bahan kimia yang terdapat di dalam kolam berkenaan.

“Kita akan pantau dari semasa ke semasa dan memerlukan maklumat daripada orang awam berkenaan kawasan yang berpotensi untuk berlaku kejadian sama seperti di kolam takungan. Setakat ini, kita telah mengambil sampel untuk tindakan pendakwaan dan masih menunggu laporan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas stiadat pembukaan penggal kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-14 di sini, hari ini.

Dalam istiadat tersebut, Sultan Se­langor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan hadir merasmikan istiadat pembukaan. Turut berangkat mengiringi baginda ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Dalam perkembangan lain, Amirudin akur dengan titah Sultan Sharafuddin yang menitahkan sekolah-sekolah swasta tahfiz yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan tidak mempunyai kokurikulum serta sistem pendidikan akademik moden ditutup dan ditamatkan perkhidmatannya.

“Setakat ini, kita belum mengambil tindakan menutup kerana sejak dua tahun lalu kerajaan negeri telah mengarahkan sekolah tahfiz ini berdaftar. Kita memudahkan cara tahfiz mendaftar supaya bangunan mereka mempunyai kemudahan dan aspek keselamatan.

“Kita telah beri masa yang cukup kepada pemilik sekolah tahfiz untuk berdaftar dan akan mengambil tindakan seperti yang dititahkan Tuanku. Tindakan perlu diambil kerana kita bukan hendak menghalang tetapi perlu memastikan sekolah mempunyai kurikulum sempurna selain mempunyai kemudahan tidak berbahaya,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE