Titah Sultan Sharafuddin, ia termasuklah petugas di pihak berkuasa tempatan (PBT) yang banyak berurusan dengan kepentingan rakyat.

“Antara perkara perlu diatasi oleh PBT pada masa ini ialah memastikan sisa pepejal dapat diuruskan dengan sistematik dan berkesan. Sampah-sarap di sesebuah kawasan hendaklah dilupuskan dengan cara terbaik supaya tidak akan timbul masalah longgokan sampah tidak terkawal serta boleh mengakibatkan pencemaran bau dan membawa penyakit.

“Selain daripada itu, pihak PBT perlu mengawasi dan mengambil tindakan yang tegas kepada pengusaha-pengusaha restoran dan kedai makan yang tidak menjaga kebersihan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian semasa merasmikan istiadat pembukaan penggal kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-14 di sini hari ini.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. - UTUSAN ONLINE