Masalah yang kerap berlaku pada waktu puncak itu bukan sahaja menyebabkan kesesakan lalu lintas bahkan menghalang kenderaan orang ramai, teksi dan bas untuk masuk ke kawasan stesen MRT.

Tinjauan Utusan Malaysia di stesen Transit Aliran Massa (MRT) Sri Raya dan Bandar Tun Hussein Onn di sini mendapati kawasan bahu jalan dipenuhi kereta dan motosikal pengguna MRT walaupun tempat letak kenderaan yang disediakan masih belum penuh.

Rata-rata pengguna MRT yang ditemui berpendapat, selain ruang parkir yang semakin tidak dapat menampung pertambahan jumlah kenderaan, masalah itu juga berpunca daripada sikap orang ramai yang memilih jalan mudah untuk meletak kenderaan di bahu jalan tanpa membayar caj parkir sebanyak RM4.30 yang dikenakan.

Bahkan ada yang sanggup berjalan sejauh beratus-ratus meter semata-mata untuk parkir di bahu jalan serta sanggup berdepan risiko kenderaan disaman, ditunda pihak berkuasa atau perbuatan jenayah.

Pemerhatian di sekitar kawasan stesen MRT juga mendapati beberapa buah kenderaan diberikan notis saman yang dikeluarkan oleh pihak polis, selain dilekatkan pita pelekat oleh ope­rator tempat letak kenderaan stesen MRT sebagai amaran.

Sementara itu tinjauan di ste­sen MRT Sri Raya pula mendapati, kawasan tersebut tidak mempunyai tempat letak kenderaan untuk pengguna tren ber­kenaan sekali gus menyebabkan limpahan kenderaan di bahu jalan.

Menurut MRT Corp, pihaknya menyediakan 14 tempat letak kenderaan di sepanjang laluan MRT Sungai Buloh-Kajang ter­masuk enam di ba­ngu­nan bertingkat.

Lapan daripada tempat parkir yang dimiliki oleh MRT Corp itu mengenakan caj standard iaitu RM4.30 bagi sekali masuk manakala enam tempat parkir lagi dikendalikan oleh pihak yang dilantik dengan bayaran berbeza-beza.