Pengarah Eksekutif Unit Perniagaan Milo dan Susu, Kumaran Nowuram berkata, gerakan yang bertindak sebagai misi berterusan jenama Milo itu akan menyatukan semua program sukan akar umbi Milo termasuk Milo Hidup Bola, Milo Champions Clinic dan Milo Activ Jam Senam Aerobik di bawah satu gerakan bersepadu.

Katanya, ia akan digerakkan menerusi gabungan tenaga bersama rakan-rakan kerjasama iaitu Kementerian Pendidikan, Majlis Olimpik Malaysia dan Majlis Sukan Negara dan komuniti setempat.

“Milo Aktif Negaraku ialah gerakan yang lahir daripada komitmen kami terhadap matlamat untuk menjadikan rakyat di negara ini aktif dan sihat dengan membekalkan tenaga yang berkhasiat dan memberikan inspirasi untuk maju bersama sukan.

“Selama lebih 60 tahun, kami berada di sisi Malaysia memberikan kebaikan khasiat kepada rakyat selain menerajui usaha membudayakan sukan dan gaya hidup aktif,” katanya ketika berucap dalam program Milo Aktif Negaraku di Spacerubix, di sini hari ini.

Beliau berkata, Milo Aktif Negaraku disertai lebih enam juta rakyat setiap tahun dan lebih separuh daripadanya melibatkan kanak-kanak menerusi program sukan Milo tersebut.

“Bergerak aktif dengan sukan dapat meningkatkan kesejahteraan dan perkembangan fizikal terutama apabila bimbingan dimulakan pada usia muda.

“Kerjasama Milo dan Kementerian Pendidikan juga telah mencatat dua juta murid sekolah di Malaysia yang bergerak aktif untuk mengamalkan hidup sihat,” katanya.

Bersempena dengan program itu, sebuah lagu baharu berjudul Aktif Negaraku yang disampaikan oleh Jaclyn Victor turut diperkenalkan bagi menyuntik inspirasi agar rakyat bersatu ke arah gaya hidup aktif. - UTUSAN ONLINE