Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Madani Sahari berkata angka kerja itu lebih menumpukan pewujudan peraturan dan undang-undang yang diperlukan.

“Ini bukan sahaja untuk kereta terbang malah melibatkan kenderaan pandu sendiri, yang memerlukan semakan undang-undang dan peraturan sedia ada, termasuk dari segi insurans.

“Kita perlu kaji semula dan membangunkan satu rangka kerja perundangan yang menyeluruh,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman Teknologi Digital Berkembar antara MARii, Altair Inc (USA) dan ORS Technologies Malaysia di sini, hari ini.

Mengenai teknologi digital berkembar itu, Madani berkata usaha tersebut merupakan langkah pertama dalam melaksanakan data kejuruteraan digital berkembar di rantau Asia Tenggara.

“Apabila kembar digital ini dilaksanakan, ia dapat menggambarkan keadaan (kenderaan) apabila bergerak, untuk memberi gambaran pergerakan itu sama ada maksimum, optimum atau tidak begitu baik,” katanya.

Beliau berkata penerapan teknologi digital berkembar memberi banyak kemungkinan kelebihan baharu untuk proses reka bentuk automotif, serta lain-lain.

MARii yang dahulunya dikenali sebagai Institut Automotif Malaysia adalah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. - BERNAMA