Pengerusi MPKK Kampung. Dengkil, Azman Anorwar berkata, lebih 30 gerai mengambil bahagian dalam program tersebut.

“Antara produk yang dipromosi adalah kuih tradisional, kraftangan dan buah-buahan tempatan seperti durian.

“Penduduk di bawah pentadbiran saya seramai 7,000 orang terdiri daripada pelbagai bidang pekerjaan turut hadir menjayakan program hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Yang hadir sama ialah Ketua Penolong Pegawai Daerah Sepang, Ahmad Suffian Osman; Penolong Pegawai Daerah, Ahmad Zulfadli Senin dan Penyelia PWB DUN Dengkil, Noranita Mat.

Azman menambah, selain aktiviti perniagaan, program tersebut turut menampilkan gerai Jabatan Kesihatan Daerah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor.

Menurutnya, bagi mengeratkan hubungan sesama penduduk, pihaknya juga mengadakan acara futsal, sukaneka pertandingan bercorak keagamaan dalam kalangan kanak-kanak dan gubahan bantal.

“Objektif utama adalah untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat telah dicapai melalui penglibatan pelbagai golongan daripada yang tua hingga kanak-kanak.

“Lebih menarik, pelbagai agensi kerajaan negeri, Persekutuan, PWB dan lain-lain lagi komited menjayakan program ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE