Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, sebanyak 122 warga kerja PBT tersebut daripada pelbagai gred dan jawatan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi 2018.

“Penerima anugerah ini dinilai dari segi kebertanggungjawaban, integriti, kepatuhan terhadap peraturan kerja, prestasi memberangsangkan, kemampuan untuk menyelesaikan tugas dengan baik serta usaha dan komitmen dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Penerima memperoleh insentif berupa hadiah prestasi berjumlah RM1,000 setiap seorang, Sijil Perkhidmatan Cemerlang, Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional bernilai RM400 serta mendapat peluang dan keutamaan dalam memajukan kerjaya,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Menurut Shahrin, objektif utama pengiktirafan tersebut diberikan adalah sebagai dorongan kepada seluruh warga kerja MBSA untuk mempertingkatkan lagi prestasi kerja dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugasan seharian.

Katanya lagi, dengan pemberian anugerah ini, pihaknya berharap penerima dapat meneruskan komitmen dan perkhidmatan yang cemerlang dalam melaksanakan tugas-tugas diamanahkan.

“MBSA amat menghargai komitmen dan kesungguhan warga kerjanya dengan meraikan kakitangan cemerlang yang merupakan aset dan tulang belakang dalam memperkasakan sistem penyampaian dan memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Penganugerahan ini juga merupakan salah satu usaha berterusan MBSA untuk menjadi sebuah organisasi yang cemerlang dan progresif dalam memberikan perkhidmatan terbaik khususnya warga bandar raya Shah Alam,” ujarnya.

Beliau menambah, selain itu, turut disampaikan Anugerah Khas Perkhidmatan kepada 25 kakitangan MBSA, Anugerah Persaraan kepada lima kakitangan serta Anugerah Pengkhidmat Setia 25 Tahun kepada 14 kakitangan.

Anugerah-anugerah disampaikan oleh Menteri Besar, Amirudin Shari.

Yang hadir sama ialah Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk Nor Azmie Diron dan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd. Rashidi Ruslan. - UTUSAN ONLINE