Kempen ini akan berlangsung selama dua bulan iaitu mulai 1 Julai sehingga 31 Ogos 2019.

Menurut Ketua Bahagian Komunikasi dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, aplikasi bayaran ‘SnapNPay’ tersebut adalah yang pertama seumpamanya dibangunkan dan pihak MBSA merupakan antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang menggunakannya.

“Aplikasi ini dapat memudahkan pengguna membuat bayaran cukai taksiran tanpa perlu memasukkan nombor akaun dan jumlah bayaran.

“Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi ‘SnapNPay’ di Google Play Store bagi pengguna yang menggunakan model Android atau App Store bagi pengguna IOS secara percuma, “katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahrin berkata, pengguna hanya perlu mengimbas kod bar atau kod QR untuk nombor akaun dan jumlah bayaran yang tertera pada invois cukai taksiran dan seterusnya proses bayaran akan disambungkan ke portal perbankan internet yang dipilih oleh pengguna.

Katanya lagi, kaedah pembayaran adalah kad debit atau kad kredit.

“Bagi menyertai kempen ini, para pemilik harta hanya perlu membuat bayaran cukai taksiran melalui saluran aplikasi ‘SnapNPay’ dan memastikan tiada tunggakan bayarancukai taksiran,”katanya.

Beliau menambah, hadiah yang disediakan kepada para pemenang adalah 1 unit SamsungNote 9 dan juga 4 unit Samsung Galaxy A7.

MBSA kini mempunyai pelbagai saluran bayaran antaranya di kaunter utama dan pejabat cawangan, perbankan internet, pejabat bergerak Shah Alam On Wheels dan kaunter pandu lalu.

Aplikasi ‘SnapNPay’ ini secara tidak langsung dapat memberi pilihan kepada pengguna seiring dengan perkembangan teknologi telefon mudah alih selain dapat menaikkan imej MBSA sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama yang melaksanakan bayaran melalui aplikasi ini. - UTUSAN ONLINE