Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim berkata, program tersebut merupakan inisiatif di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) yang diperkenalkan oleh Lembaga Pembangunan Industri (CIDB) bagi menghasilkan perubahan dalam industri pembinaan negara.

“CITP mengandungi 20 inisiatif serta 20 jawatankuasa bagi menyelaras setiap inisiatif. DCP merupakan salah satu fokus Kumpulan Inisiatif Kerja 4 (IWG 4) yang terkandung dalam CITP.

“Salah satu fokus IWG 4 adalah menyelaras inisiatif Urusan Permit Pembinaan (DCP), yang bertujuan mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari aspek pengeluaran permit-permit pembinaan merangkumi OSC 3.0,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran tersebut di sini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya.

Haris berkata, program tersebut merupakan gabungan kerjasama agensi kerajaan dan swasta yang melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), CIDB dan Malaysia Productivity Corporation (MPC).

Katanya, MBSA telah dipilih oleh Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai perintis transformasi urusan permit pembinaan Peneraju Utama Negeri DCP.

“Permit pembinaan ini diperkenalkan bertujuan untuk memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan (delivery system) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari aspek pengeluaran permit-permit pembinaan. Kita berharap dapat memendek masa meluluskan permit daripada 390 hari kepada 90 hari.

“Program Transformasi Urusan Permit-Permit Pembinaan telah dan sedang dilaksanakan di lima buah negeri iaitu Sabah, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Selangor,” katanya.

Ahli-ahli DCP terdiri daripada Datuk Bandar atau Timbalan Datuk Bandar Shah Alam sebagai penasihat dan jabatan-jabatan teknikal dalaman sebagai ahli seperti Bahagian Pusat Setempat (OSC), Jabatan Perancangan, Jabatan Bangunan, Jabatan Kejurureraan dan Jabatan Landskap. -UTUSAN ONLINE