Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kesemua penerima terdiri daripada lima orang dari setiap zon yang dikenal pasti melalui Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).

Menurutnya, sumbangan adalah berbentuk barangan makanan kering seperti beras, minyak masak, gula, sardin, kurma, kicap, garam, tepung gandum, susu pekat, rempah kari, biskut tin dan sebagainya bagi menjamin menu harian yang sihat.

“Nilai setiap sumbangan adalah RM150 berupa barangan keperluan dan wang tunai sebanyak RM100 untuk setiap keluarga,” katanya di sini, hari ini.

Penyampaian sumbangan sempena program Ziarah Ramadan ini disempurnakan oleh Timbalan Datuk Bandar, Mohd. Rashidi Ruslan.

Shahrin memberitahu, bagi melayakkan menerima sumbangan, antara kriteria yang ditetapkan adalah penerima daripada golongan fakir miskin, ibu tunggal, warga emas yang tidak berkemampuan serta orang kurang upaya (OKU).

“Tujuan program ini diadakan adalah untuk membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan bagi membuat persediaan menyambut bulan Ramadan.

“Ia merupakan komitmen secara berterusan oleh MBSA untuk membantu penduduk melalui program kemasyarakatan di samping memberi peluang kepada warga Shah Alam mendekati pihak pengurusan MBSA,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE