Jelas Amirudin, beliau tidak takut atau bimbang dengan kritikan jujur, sebaliknya mengambil positif perkara itu kerana maklumat yang disalurkan pihak media sebenarnya dapat membantunya memantapkan pentadbiran di Selangor.

Mengambil contoh sikap kerajaan terdahulu, beliau berkata, antara kesilapan yang dilakukan sewaktu mentadbir negeri mahu pun negara sehingga menyebab akhirnya ditolak rakyat adalah kerana mereka tidak diberitahu perkara yang betul.

“Apabila tidak betul dan (maklumat) ditapis, akhirnya tidak dapat mencorakkan polisi dan keputusan kerajaan yang seimbang dan terbaik untuk rakyat.

“Konsep ini (keterbukaan media) diamalkan dalam Malaysia baharu. Ada ruang kepada rakan-rakan media untuk melaporkan termasuk membenarkan beberapa kritikan dibuat di beberapa institusi kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Berbuka Puasa bersama media di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut bagi mengulas isu berasingan, Amirudin berkata, siasatan awal insiden tiga paip utama pecah berhampiran tapak pembinaan Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) di Klang baru-baru ini adalah berpunca daripada kerja-kerja oleh pihak WCE.

Sehubungan itu tegasnya, kerajaan negeri akan menuntut ganti rugi daripada WCE kerana kesan paip pecah tersebut telah menjejaskan banyak pihak.

“Saya sedang tunggu laporan penuh daripada Air Selangor dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM). Selepas itu kita akan tuntut daripada WCE, saya kira beban yang besar kepada kerajaan negeri dan pengguna air di Selangor.

“Kita cuma siasat bagaimana kesannya dan apa kesan kepada paip kita. Kita akan tuntut kerana pada tahap ini memang jelas ia berpunca daripada pergerakan tanah terbabit. Sesetengah paip itu teralih hingga menyebabkan Klang berdepan masalah gangguan air selama berhari-hari.

“Amat malang sekali ia berlaku pada awal Ramadan,” katanya. - UTUSAN ONLINE