SAIPOLYAZAN MAT YUSOP

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop berkata, pihaknya amat menitikberatkan integriti semasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam kalangan warga kerjanya.

“Ini demi memastikan wang zakat yang diamanahkan diurus dengan baik dan mencapai objektif. LZS amat memandang serius sebarang salah laku membabitkan integriti dalam kalangan warga kerja dan tanpa kompromi akan mengambil tindakan tatatertib serta undang-undang.

“Ini penting bagi memastikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada LZS sentiasa terpelihara dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Khamis lalu, seorang bekas amil zakat didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang atas dua pertuduhan pecah amanah melibatkan lebih RM4,000 pada Julai 2018 dan April lalu.

Saipolyazan memberitahu, sehingga kini pelbagai kawalan dalaman dan luaran dilaksanakan bagi memastikan integriti dan kredibiliti LZS terpelihara melalui pelbagai siri pengauditan.

Menurutnya, antara badan audit terlibat ialah Firma Audit Antarabangsa dan Audit Negara, Audit SIRIMd dan Audit Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). - UTUSAN ONLINE