Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Hee Loy Sian berkata, kelmarin, semua premis makanan di negeri ini tidak dibenarkan meletakkan sebarang straw plastik di premis masing-masing termasuk di kaunter.

Walau bagaimanapun katanya, penyedut minuman hanya akan diberikan sekiranya diminta oleh pelanggan dan ia akan diberikan secara percuma.

“Buat masa ini, kita belum mengadakan penguatkuasaan lagi dan tiada tindakan denda terhadap mereka yang gagal patuh arahan.

“Namun kita mahu pengguna dibiasakan dengan penggunaan straw yang dibuat daripada kertas, buluh dan besi,” katanya selepas meninjau hari pertama pelaksanaan Kempen Bebas Straw Plastik di Plaza Shah Alam, Seksyen 9 di sini, hari ini.

Yang hadir sama ialah Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim dan timbalannya, Rashidi Ruslan.

Loy Sian menambah, ini adalah cara untuk pihaknya mendidik orang ramai supaya dapat mengurangkan penggunaan straw plastik sebelum penguatkuasaan sebenar dijangka dilaksanakan pada 2025 kelak.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meletakkan satu klausa menggalakkan pemilik premis turut serta dalam kempen tersebut pada borang permohonan pembaharuan lesen perniagaan.

“Kita mahu semua pemilik premis makanan di Selangor untuk tidak lagi menyediakan penyedut minuman plastik di kaunter untuk diambil secara bebas oleh pelanggan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE