SYAZANI BAHAR
SYAZANI BAHAR 

Utusan Malaysia difahamkan, masalah yang sudah lama berlarutan itu berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab penduduk yang mengambil jalan mudah untuk melupuskan sampah dan barang-barang rumah yang tidak diperlukan di kawasan berkenaan.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Hayati, 29, berkata, sebelum ini terdapat tong sampah besar diletakkan di kawasan itu namun selepas kedai runcit bersebelahan dengan lot berkenaan ditutup, orang ramai seolah-olah menggazetkan kedai tinggal itu sebagai tempat pembuangan sampah.

Lebih mengecewakan katanya, terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab membuang perabot lama dan peralatan lain ke dalam lot berkenaan.

“Rumah kedai berkenaan sudah lama terbiar dan dicemari sampah sarap. Kita risau ia akan menjadi tempat pembiakan nyamuk atau sarang binatang berbisa.

“Pernah juga tempat itu menjadi tempat anak-anak muda melepak sehingga tengah malam. Kita bimbang ia akan membawa kepada salah laku seperti dadah dan maksiat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu Syazani Bahar, 33, berkata, sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri individu yang membuang sampah di kawasan itu perlu dihentikan melalui pemantauan pihak berkuasa tempatan.

“Saya berharap pihak yang bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera dan membersihkan lot kedai berkenaan sebelum lebih banyak sampah sarap dibuang di kawasan itu.

“Selain itu, pihak berkuasa juga perlu menyediakan tong sampah besar bagi kegunaan penduduk atau mewujudkan satu kawasan baharu bagi pembuangan sampah sementara sebelum dikutip oleh lori sampah,” ujarnya.