Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Norazam Khamis berkata, siasatan awal pihaknya mendapati punca kebakaran adalah litar pintas.

“Kebakaran yang berlaku tidak mempunyai unsur jenayah dan siasatan awal kita mendapati ia berpunca daripada litar pintas.

“Namun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar,” katanya ketika ditemui pada majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Selangor di Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang di sini hari ini.

Terdahulu, pada majlis sama, JBPM Selangor menerima sebuah van jenazah hasil sumbangan aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng ataupun lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.

Dalam masa sama, Norazam mengucapkan takziah kepada kedua ibu bapa keluarga mangsa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh mereka amat besar jasanya kepada pihak jabatan.

Semalam, dua beradik, Nur Salsabila Mohd. Fakrul Khair, 15, dan adiknya Nur Ain Sumayyah,13, ditemukan rentung selepas rumah mereka terbakar pada pukul 2.48 pagi.

Ketika kejadian, ibu bapa mangsa tiada dirumah kerana berada di Pulau Indah bagi menyediakan makanan buat anggota bomba yang terlibat dalam operasi pemadaman di sebuah kilang kimia. -UTUSAN ONLINE