Wakil penduduk Taman Petaling Indah, Datuk Ir. S.N. Mohandass berkata, beliau dimaklumkan demikian dalam mesyuarat yang berlangsung di pejabat Pengerusi Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosioekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V. Ganabatirau di sini, minggu lalu.

“Kami mendapat jemputan untuk bertemu dengan Exco setelah isu tokong di kawasan perumahan kami disiarkan oleh media.

“Exco memaklumkan akan ikut segala SOP yang telah ditetapkan dalam menyelesaikan isu yang semakin memuncak sejak sebulan lalu setelah tokong tersebut siap,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Mohandass menambah, bagi penduduk, mereka akan menanti segala SOP yang dinyatakan tersebut dipenuhi oleh pihak terbabit.

Menurutnya, antara lain, SOP bagi pembinaan tokong tersebut melibatkan kelulusan Ahli Parlimen Klang dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“SOP tersebut menetapkan penduduk sama ada membantah pembinaan tokong atau membenarkannya” ujarnya.

Bulan lalu, kira-kira 200 penduduk Taman Petaling Indah berhimpun mendesak tindakan segera dilakukan MPK berhubung kewujudan sebuah tokong dipercayai dibina tanpa kebenaran sejak lima bulan lalu di kawasan itu. - UTUSAN ONLINE