Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Manulife Asset Management Services Bhd, Jason SM Chong menyifatkan pertumbuhan hasil itu sebagai baik kerana masih positif berbanding kadar deposit tetap semasa sekitar tiga sehingga empat peratus setahun.

“Namun, hasil REIT di Malaysia tidak mungkin akan meningkat dalam tempoh terdekat ini memandangkan kitaran kadar faedah (kadar dasar semalaman) ketika ini yang diunjur kekal pada paras semasa (3.25 peratus) akibat keadaan ekonomi yang perlahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat pembentangan mengenai REIT global serta majlis pelancaran Dana REIT Global Manulife Syariah iaitu dana REIT global Syariah pertama dunia bagi kalangan pelabur runcit.

Mengulas selanjutnya, Chong berkata perniagaan berkaitan e-dagang dan internet pelbagai benda serta sektor penjagaan kesihatan akan terus menjadi pemacu prestasi REIT di peringkat global.

“Ekonomi baharu menjadi nadi peningkatan permintaan terhadap pembinaan infrastruktur, termasuk pusat data dan menara telekomunikasi.

“Pada masa sama, pertambahan bilangan penduduk berusia pula akan meningkatkan pertumbuhan pusat perubatan dan rumah jagaan,” katanya.

Mengulas prospek REIT global, Chong optimis segmen itu secara keseluruhannya kekal berpotensi terutama bagi pasaran di Amerika Syarikat (AS), Hong Kong dan Singapura.

“Pasaran REIT AS misalnya dinilai sebagai menarik. Aspek pembayaran dividen yang mencecah hampir paras terendah beserta pertumbuhan pendapatan yang sederhana dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang dijangka memacu pertumbuhan purata dividen,” katanya.

Bagi REIT Hong Kong, beliau percaya pasaran itu menawarkan penilaian menarik dan menyaksikan peningkatan asas hartanah yang memberi kelebihan kepada subsektor runcit di kawasan itu.

“REIT Singapura pula ditawarkan pada tahap melebihi purata pendapatan dividen yang turut berperanan sebagai penampan terhadap ketidaktentuan makroekonomi,” katanya.

Chong berkata, United Kingdom dan pasaran baharu muncul seperti Mexico dan Thailand kekal sebagai wilayah yang dilihat kurang berpotensi susulan kebimbangan mengenai isu Brexit manakala Mexico dan Thailand pula menawarkan profil dengan risiko ganjaran kurang menarik.

Selain itu, dalam pembentangannya, beliau berkata pulangan tahunan S&P Global REIT adalah di tahap 9.10 peratus setahun bagi tempoh Disember 2009-Disember 2018 dengan pulangan modal naik 4.62 peratus setahun manakala baki 4.48 peratus adalah menerusi sumbangan dividen tahunan. - BERNAMA