Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, FAMA telah diarahkan turun padang memeriksa setiap lesen peniaga bagi mengelak lesen berkenaan disewa dari pihak lain.

Beliau berkata, kementerian mahu setiap lot pasar tani diberikan kepada usahawan tani yang betul-betul layak dan bukan dimiliki individu yang hanya mengaut keuntungan atas angin semata-mata.

“Perkara utama akan diberikan penekanan dalam memperkasakan pasar tani seliaan FAMA ialah mengesan mana-mana pemilik tapak yang menyewakan tapak mereka kepada orang lain untuk berniaga.

“Saya mahu setiap lot diberikan kepada usahawan tani. Kita akan semak setiap lesen, Insyaallah kita tidak mahu pasar tani jadi seperti pasar borong yang dipenuhi peniaga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 dan Jasamu Dikenang 2019 peringkat FAMA di sini hari ini.

Difahamkan, sehingga Februari lalu, sebanyak 746 tapak pasar tani seliaan FAMA telah beroperasi di seluruh negara dengan melibatkan sebanyak 30,793 peniaga usahawan tani.

Menurut Salahuddin, kementerian juga mahu imej pasar tani diperbaharui dalam soal inovasi agar lokasi jualan produk pertanian itu lebih menarik, berdaya saing dan menjadi pilihan pengguna.-UTUSAN ONLINE