Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Azri Ahmad, 48.

Tertuduh melakukan perbuatan itu dalam empat transaksi berbeza di sebuah rumah di Jalan SP 2/1, Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, di sini, antara pukul 4.31 petang dan 4.37 petang, 25 Januari 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, lelaki itu didakwa menolong menyembunyikan wang berjumlah RM19,800 milik Yee Kuan Weng, 59, yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya dan mengetahui bahawa wang itu bukan miliknya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Intan Syakieraah Zakaria memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia turut ditipu dan telah melakukan kecuaian kerana membantu membuka akaun bank atas namanya, untuk kegunaan orang lain.

Mengikut fakta kes, pengadu, Kuan Weng telah menerima satu panggilan palsu daripada pihak yang mendakwa dirinya dari Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memasukkan kesemua wang di dalam akaun simpanannya ke dalam satu akaun bank lain kerana pengadu sedang disiasat selain pihak BNM berjanji akan memulangkan wang setelah siasatan selesai.

Pengadu yang bimbang kemudian telah mengikuti arahan menerusi panggilan itu dan memasukkan wang melalui empat transaksi berbeza ke dalam akaun tertuduh.

Seterusnya, pengadu telah membuat satu laporan polis mengenai panggilan itu dan hasil siasatan mendapati akaun bank itu dimiliki oleh tertuduh. - BERNAMA