Presidennya, Tan Sri Lim Gait Tong berkata, Persidangan Perdagangan China-ASEAN 2019 akan menjadi platform untuk menghimpunkan lebih 250 ahli perniagaan dan usahawan daripada negara ASEAN dan China, khususnya Shandong dan Beijing untuk berbincang.

“Selaras dengan sasaran kami untuk mencapai perdagangan dua hala ASS$1 trilion (RM4.08 trilion) pada 2025, perluasan ini akan berperanan sebagai alternatif untuk meningkatkan aktiviti perdagangan dua hala kerana kami telah terlibat secara aktif di kawasan utara negara itu, iaitu di bandar raya seperti Guangdong, Shanghai, Fujian, Jingsu dan Guangxi.

“Persidangan itu adalah yang pertama seumpamanya di wilayah Shandong dan ia juga akan memberi gambaran menyeluruh mengenai Qihe iaitu Pusat Perdagangan ASEAN-China, yang akan dilancarkan pada hari berkenaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pusat perdagangan itu akan menyediakan maklumat mengenai aktiviti perdagangan ASEAN kepada ahli perniagaan China dan membantu usahawan ASEAN yang berminat untuk membuka perniagaan di China.

Lim berkata, dengan penduduk lebih 100 juta dan produk domestik kasar bernilai AS$1 trilion, Shandong, yang ekonomi utamanya adalah pertanian, adalah tempat sesuai untuk Malaysia mempromosikan produknya, terutama kopi dan durian serta berkongsi teknologi seperti panel solar, bahan binaan dan kenderaan elektrik.

“Sudah tiba masanya untuk meneroka pasaran baharu di China dan setakat ini kami hanya meliputi satu pertiga negara itu. Kami percaya inisiatif di rantau baharu ini akan membantu menjual lebih banyak produk Malaysia dan ASEAN ke pasaran besar China yang mempunyai 1.4 bilion penduduk.

“Bagaimanapun, banyak yang perlu dilakukan dan dengan sokongan kerajaan terhadap dasar-dasar seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), kami berharap dapat mencapai perdagangan dua hala AS$1 trilion lebih awal daripada 2025,” kata Lim.

RCEP adalah perjanjian perdagangan bebas yang dicadangkan antara 10 negara anggota ASEAN dengan Australia, New Zealand, China, India, Jepun dan Korea Selatan.- BERNAMA