Selain fungsi dan peranan sebagai pusat informasi kepada pengunjung dari dalam dan luar negara untuk mendapatkan maklumat berkaitan sejarah Melaka, Perzim juga merupakan agensi pendidikan yang menyumbang kepada pembangunan ilmu di kalangan pelajar sekolah mahupun institusi pengajian tinggi.
Dengan matlamat untuk memastikan kesan sejarah serta peninggalan warisan budaya ini terus dihargai generasi kini dan masa depan, Perzim terus optimis memberikan perkhidmatan terbaik dalam aspeknya hingga turut dikagumi pihak luar.
Wartawan Utusan Malaysia, FADZLY IZAB dan jurugambar, AZLI AHAD berpeluang menemubual Pengurus Besar Perzim, Datuk Khamis Abas di pejabatnya dekat Kompleks Warisan Melaka, Jalan Kota untuk mengetahui hala tuju, matlamat serta harapan Perzim dalam memacu sektor pelancongan berasaskan sejarah, budaya dan tradisi di negeri ini.

Boleh kongsikan serba sedikit mengenai sejarah awal dan fungsi sebenar Perzim terutamanya berkaitan sektor warisan di negeri ini?

Khamis Abas: Perzim pada awalnya dikenali sebagai Lembaga Muzium Melaka, ditubuhkan selepas kemerdekaan dengan fungsi awal untuk memberi tumpuan kepada penubuhan muzium di samping memelihara tapak-tapak bersejarah di Melaka.

Pada 1994, fungsi lembaga ditukar kepada Perbadanan Muzium Melaka di mana kerajaan negeri ingin menjadikan sektor sejarah dan warisan sebagai teras utama pembangunan pelanco­ngan di negeri Hang Tuah ini.

Sehubungan itu, kerajaan ne­geri memacu langkah dengan memulihara tapak warisan dan membina muzium untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan yang boleh membantu meningkatkan jumlah pelancong ketika itu sehingga berkembang dari semasa ke semasa.

Apa fungsi sampingan Perzim yang penting namun mungkin tidak ramai yang tahu?

Perzim bukan sahaja berpe­ranan menyelia, mengurus dan mentadbir muzium-muzium serta tapak warisan yang terdapat di negeri ini bahkan turut melaksa­nakan pelbagai program berkaitan seni, budaya, warisan, tradisi dan pelancongan untuk mempelbagaikan tarikan kepada pelancong.

Ini termasuk pameran lukisan seni halus daripada pelukis-pelukis tempatan dan luar negara, seminar, bengkel pemuliharaan bangunan bersejarah dan pertan­dingan masakan tradisional yang mempunyai permintaan tinggi daripada pengunjung.

Melihat kepada perkemba­ngan semasa dalam sektor pelancongan negara, adakah muzium dan tapak-tapak bersejarah ini masih diminati?

Kita sedar dengan perkemba­ngan sektor pelancongan negara termasuk pelbagai taman tema yang menyeronokkan kepada para pelancong. Namun dari satu sudut, pelancongan berasaskan sejarah dan warisan mempunyai peminat tersendiri malah bertambah dari semasa ke semasa.

Ini disebabkan langkah yang diambil bagi memastikan muzium terus berkembang selaras dengan perkembangan bidang pelancongan semasa dan tidak hanya kekal statik serta membosankan.

Perzim melangkah ke depan dan melaksanakan pelbagai usaha penambahbaikan bagi memastikan pusat tumpuan pelancongan ini terus dikunjungi termasuk menambah jumlah muzium-muzium yang ada di negeri ini.

Berapa jumlah pelancong semasa yang melawat muzium-muzium serta galeri di bawah Perzim sepanjang tahun?

Sepanjang tahun lalu, Perzim berjaya mencatatkan kehadiran 900,000 pelancong berbayar dari dalam dan luar negara dan jumlah itu merupakan kedua tertinggi di seluruh negara selepas muzium-muzium di bawah Jabatan Muzium Malaysia.

Angka ini jelas menunjukkan bahawa minat dan keterujaan pelancongan dalam sektor sejarah masih tinggi malah meningkat saban tahun dengan penambah­baikan yang dilaksanakan Perzim.

Apakan usaha tambahan untuk meningkatkan jumlah pelancong ke muzium-muzium di Melaka?

Kita menjalin kerjasama de­ngan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk menjadikan lawatan ke muzium sebagai salah satu aktiviti wajib di peringkat sekolah dalam usaha memperkaya ilmu dan minat dalam kalangan pelajar.

Difahamkan, Kementerian Pelajaran juga mewajibkan calon Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) diwajibkan lulus subjek sejarah dan lawatan ke muzium merupakan antara syarat yang perlu dipenuhi.

Selain jalinan kerjasama de­ngan pihak kementerian, Perzim juga mengadakan kerjasama pintar dengan syarikat swasta ternama dunia seperti Google dan Samsung bagi membangunkan aplikasi berkaitan muzium yang relevan dengan perkembangan teknologi semasa.

Apa lagi kemudahan yang ditawarkan Perzim terutamanya dari segi pembangunan modal insan?

Perzim juga membuka permohonan kepada mana-mana pelajar untuk menjalani latihan industri di muzium-muzium yang terdapat di negeri ini bagi memberi pendedahan sebenar mengenai sektor sejarah dan warisan.

Malah ia bukan hanya tertumpu kepada pelajar sahaja, Perzim juga sering menganjurkan kursus serta bengkel pengurusan yang disertai jabatan-jabatan lain termasuk pihak muzium dari negara jiran termasuk Brunei, Indonesia dan Singapura yang mahu mempelajari cara kita menguruskan muzium dengan baik.

Ini secara tidak langsung membantu menaikkan imej Melaka dan Malaysia di peringkat global malah kepakaran kita dalam bidang ini diperakui serta menjadi contoh kepada pihak luar.

Apakah harapan dan hala tuju Perzim dalam tempoh 10 tahun dalam memastikan se­k­tor sejarah dan warisan ini te­rus kukuh?

Perzim akan terus meningkatkan usaha dan tumpuan terhadap pembangunan mutu dan per­khidmatan kepada para pengunjung serta rakan kongsi bagi menjadikan sektor ini terus relevan walaupun dunia semakin moden.

Kita percaya walaupun teknologi semakin berkembang, masyarakat tidak akan lupa tentang sejarah dan itulah yang akan menarik minat mereka terutamanya generasi muda yang mungkin tidak dapat melihat sendiri episod sejarah ber­kenaan berlaku.

Perzim juga berharap pembudayaan semangat cintakan sejarah dan warisan ini akan terus mekar dalam jiwa rakyat Malaysia ke­rana ia adalah warisan yang tidak ternilai dan perlu dipelihara sampai bila-bila.