Ahli Kimia yang bertugas di Jabatan Kimia, Dr. Mohamad Rafiq Sulaiman berkata, kepelbagaian lokasi sampel diambil bertujuan memastikan ujian menyeluruh, sekali gus mengelak kejadian terlepas pandang.

Kata beliau, lokasi-lokasi tersebut dikenal pasti dengan panduan diperoleh daripada pihak Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Sebagaimana diumumkan Timbalan Perdana Menteri, analisis kami mendapati tiada sebarang pencemaran logam berat atau bahan kimia pada sumber air terbabit.

“Analisis yang kami lakukan hanya menunjukkan kehadiran bakteria e-coli dan mikroorganisma ini hadir di kebanyakan sungai di Malaysia,” katanya ketika ditemui di pusat operasi Op Bateq, di sini hari ini.

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) hari ini dan semalam dilaporkan mengkritik kaedah sampel air diambil termasuk mendakwa diambil di lokasi tidak tepat, bukannya di lokasi yang menjadi sumber bekalan air penduduk Orang Asli suku Bateq Kuala Koh.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perlaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Azizan Abu Taat pula memberitahu, perkampungan itu mempunyai kemudahan bekalan air bersih yang terjamin.

Katanya, terdapat tiga sumber air terjamin dan selamat digunakan di situ, iaitu telaga tiub, air tandak atau tadahan air bukit dan air daripada tangki disediakan oleh pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Tinjauan media hari ini yang dibenarkan masuk buat pertama kali sejak kawasan itu diisytihar sebagai ‘zon merah’ sejak Rabu lalu mendapati, tiga sumber air berkenaan digunakan secara meluas oleh para penduduk untuk mandi-manda, memasak dan minum.

Bagaimanapun, tangki-tangki biru sumbangan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah sejak beberapa tahun lalu yang turut digelar ‘Gajah Biru’ oleh penduduk setempat tidak berfungsi.

Difahamkan, tangki tersebut digelar begitu kerana tidak pernah berfungsi sejak ia diletakkan di situ. - UTUSAN ONLINE