Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, walaupun kerajaan berdepan persekitaran ekonomi tidak menentukan dan penurunan harga minyak, kerajaan negeri tetap optimis akan berusaha sedaya upaya merancang perbelanjaan secara optimum tanpa perlu mengorbankan sasaran pembangunan yang telah dirancang.

Malah menurutnya, kerajaan negeri juga akan terus melaksanakan langkah-langkah perbelanjaan berhemat dan mengetatkan perbelanjaan mengurus seperti yang diamalkan ketika ini.

“Berlandaskan matlamat untuk memastikan kelestarian pembangunan dan kesejahteraan rakyat serta demi mengekalkan momentum pembangunan negeri, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan peruntukan Bajet Pembangunan Tahun 2015.

“Bagaimanapun kerajaan akan meneliti semula kos projek pembangunan yang belum dilaksanakan terutama melibatkan jumlah yang besar. Langkah ini bagi membolehkan kerajaan menyusun semula pelaksanaan projek pembangunan selaras dengan kemampuan kewangan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Sabah di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Musa menambah, cabaran utama kerajaan negeri dalam membangunkan negeri ini ialah menyediakan peruntukan mencukupi dalam semua sektor.

Sehubungan itu beliau yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, kerajaan akan berusaha memperkukuhkan kutipan hasil dan memperluaskan sumber hasil negeri seperti mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Cukai Jualan negeri selain mewujudkan Unit Pentadbiran Cukai Jualan bagi meningkatkan pemantauan serta penguatkuasaan cukai jualan.

Ujar beliau lagi, kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pungutan Hasil untuk menambah baik dan memantapkan proses kutipan cukai jualan melalui seliaan yang lebih rapi selain mengadakan kajian untuk meneroka sumber baharu bagi menambah kutipan hasil sedia ada.

“Selain itu, kerajaan negeri juga meneruskan usaha melalui perundingan dengan Kerajaan Persekutuan agar pemberian Persekutuan kepada kerajaan negeri dikaji semula,” katanya.

Dalam pada itu, Musa yang juga Pengerusi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) berkata, pihaknya sentiasa bergerak seiring dengan komitmen Kerajaan Persekutuan demi memastikan keselamatan negeri ini sentiasa berada di tahap yang memuaskan terutama di kawasan pantai timur Sabah agar insiden penculikan serta jenayah rentas sempadan tidak berulang.