Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk N. Rajendran berkata negeri itu turut menyedari pentingnya industri perabot dan berasaskan kayu sebagai antara industri utama yang perlu dibangunkan di Sabah.


"Pengumuman oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal baru-baru ini untuk menjadikan Sandakan sebagai pusat perabot sudah tentu satu langkah hala tuju yang betul bagi negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.


Setakat September 2018, sejumlah 2,919 projek perabot dan berasaskan kayu diluluskan oleh MIDA dengan pelaburan sebanyak RM33.02 bilion, dan daripada jumlah itu 67 peratus adalah daripada sumber domestik manakala bakinya merupakan pelaburan asing.


Bagi Sabah, MIDA meluluskan 466 projek perabot dan berasaskan kayu dengan pelaburan keseluruhan bernilai RM5.36 bilion.


Pada 23 Jan lepas, MIDA menganjurkan seminar mengenai era baharu pembuatan bagi industri perabot dan berasaskan kayu di Kota Kinabalu, Sabah, yang memperoleh minat menggalakkan daripada peserta industri.


"Tiga syarikat berpangkalan di Semenanjung Malaysia telah memberi maklum balas serta-merta iaitu mereka berminat untuk memanfaatkan sumber yang ada di Sabah serta memperluas operasi perniagaan mereka di sana.


"Bagi memudahkan minat syarikat tersebut, MIDA telah mengatur perbincangan dengan Yayasan Sabah, POIC Lahad Datu (kluster perindustrian minyak sawit) dan Sabah Softwood Bhd ke arah mewujudkan kerjasama strategik," menurut MIDA.
- BERNAMA