Tinjauan Bernama juga mendapati pekebun kecil masih terus menjual buah sawit mereka kepada pihak pengilang dan pihak pengilang juga masih menerima buah kelapa sawit yang dijual mereka.

Seorang pengusaha ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Piasau, Sandakan Borhan Yaakob, 57, berkata baharu semalam dia menjual tuaian buah kelapa sawit dari ladangnya kepada pembeli buah kelapa sawit di Batu 12.

Katanya harga setan buah kelapa sawit jika dijual kepada pembeli swasta adalah RM300 setan, manakala jika dijual terus ke kilang adalah RM371 setan.

Menurutnya di daerah ini beliau tidak menerima makluman daripada rakan pengusaha ladang kelapa sawit jika ada kilang dan pembeli swasta tidak menerima buah kelapa sawit.

Di BEAUFORT, seorang pekebun kecil kelapa sawit, Ghafor Jisri, 60, berkata kilang dan pembeli swasta masih menerima buah kelapa sawit.

Namun, katanya, harga setan buah kelapa sawit sangat rendah iaitu RM185 bagi pembeli swasta manakala RM220 untuk harga di kilang.

Beliau berkata sebagai pekebun kecil sudah tentu merasai kesan harga setan buah kelapa sawit yang semakin rendah itu dan berharap kerajaan mengambil perhatian mengenai penurunan harga buah kelapa sawit di negara ini dengan mencari kaedah terbaik menanganinya.

Di TAWAU, seorang pemilik kilang sawit, Lo Su Fui menafikan berita bahawa semua kilang-kilang sawit di Sabah tidak mahu membeli buah sawit daripada pekebun kecil ekoran harga sawit menurun


"Kawasan pantai timur Sabah tidak ada masalah sedemikian, cuma perkara itu mungkin wujud di kawasan pedalaman barat Sabah tetapi alasannya bukan disebabkan harga sawit turun," katanya kepada Bernama sebagai mengulas laporan sebuah portal berita baru-baru ini yang mendakwa kilang memproses kelapa sawit di Sabah enggan membeli komoditi itu daripada pekebun kecil ekoran kejatuhan harga sawit.


Menurutnya, faktor lebihan stok minyak serta tiada tempat menyimpan stok antara sebab kepada kilang-kilang di kawasan pedalaman barat Sabah mengurangkan pembelian daripada pekebun kecil sawit.


"Pengilang mahu beli buah sawit daripada pekebun kecil, untuk diproses tetapi masalah lebihan bekalan dan tempat simpan stok yang terhad menyebabkan berlaku perkara ini (kilang mengurangkan beli buah sawit)," katanya lagi.


Dalam pada itu, Ketua Peneroka Felda Wilayah Sahabat, di Lahad Datu, General Linjal berpendapat tiba masanya kerajaan campur tangan dengan membuat pencerahan berhubung langkah menstabilkan harga sawit sekali gus membantu pekebun kecil.

"Saya harap perkara ini hanya bersifat sementara kerana saya sebagai peneroka Felda pun terasa tetapi kesannya akan lebih dirasai pekebun kecil berbanding peneroka Felda yang masih bergantung sepenuhnya pada sistem pengurusan tertinggi Felda.

"Buah sawit pekebun kecil ini akan dibeli oleh pembeli-pembeli luar yang ada kelulusan daripada kerajaan dan dengan harga sekarang yang tidak menentu, pembeli kadang-kadang akan tengok keupayaan mereka untuk membeli berapa banyak dan ada yang berpandukan kepada kos perbelanjaan ditanggung," katanya.

General dalam pada itu berharap agar kerajaan dapat menangani segera masalah ini secara berhemah dan semua pihak akan menang-menang.

"Apa yang berlaku dengan masalah kilang dan pekebun kecil ini sebetulnya masalah teknikal yang melibatkan sistem pengurusan buah sawit," katanya. -BERNAMA