Pengarahnya Datuk Ismail Ahmad berkata jumlah itu termasuk pendaftaran permohonan sijil kelahiran dibuat dalam tempoh sebelum 42 hari atau selepas 43 hari daripada tempoh daftar lewat.


Ismail berkata perkhidmatan UKB itu memberi fokus untuk membantu penduduk asal Sabah di kawasan terbabit yang menghadapi masalah mendaftarkan sijil kelahiran berikutan wujud beberapa kekangan termasuk tempat tinggal jauh, kemiskinan, prasarana jalan raya, pengangkutan dan kesedaran rendah mengenai kepentingan pendaftatan kelahiran.


"Di Sabah, masih ramai lagi anak-anak penduduk asal dan bumiputera yang tidak mendaftar kelahiran terutama bagi penduduk tinggal jauh di pedalaman dan pulau-pulau.


"Justeru, UKB diwujudkan bagi menjejaki penduduk di kawasan itu untuk membantu mendaftar kelahiran anak-anak mereka selain membantu mendaftarkan dan membuat gantian dokumen pengenalan diri bagi golongan orang kelainan upaya dan warga emas," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Ismail berkata UKB itu juga berfungsi membantu membuat gantian dokumen pengenalan diri Mykad dan sijil lahir milik mangsa banjir atau kebakaran yang musnah atau hilang dalam bencana tersebut.


"Gantian bagi dokumen hilang ini boleh dibuat segera kerana data telah wujud dalam sistem JPN," katanya, dan memaklumkan, sebanyak 157 kad pengenalan dan sijil kelahiran musnah dalam kebakaran telah digantikan berdasarkan statistik tahun lepas sehingga kini.


Ismail berkata JPN Sabah komited untuk terus berusaha menangani isu daftar lewat kelahiran di negeri ini dengan memperkenalkan perkhidmatan berkala selama dua hari di kawasan pedalaman dan kawasan sukar untuk dihubungi.


Beliau berkata sehingga kini, perkhidmatan berkala JPN telah dilaksanakan di Paitan, Beluran, serta Pegalungan dan Pensiangan, Nabawan selain jabatan itu juga dalam perancangan memperluas peranan perkhidmatan itu ke Pulau Banggi, Kudat.


"JPN turut menggesa pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan turun ke pedalaman dan pulau bagi membantu menyampaikan maklumat kepada JPN mengenai penduduk asal dan bumiputera yang belum mendaftar sijil kelahiran supaya perkhidmatan UKB boleh dihantar ke kawasan tersebut," katanya.

Sementara itu, Ismail ketika mengulas saranan Angkatan Perubahan Sabah (APS) berkata, JPN Sabah tidak akan menghentikan operasi jabatan untuk masuk ke pedalaman dan pulau, sebaliknya, pihaknya akan meneruskan inisiatif itu bagi memastikan penduduk asal mendaftar sijil kelahiran.


Semalam, akhbar tempatan melaporkan APS menyarankan kerajaan Persekutuan untuk menghentikan sementara waktu program pendaftaran lewat sijil kelahiran.


Ismail berkata tindakan menghentikan perkhidmatan itu hanya merugikan penduduk asal kerana golongan tersebut dikhuatiri tidak akan mempunyai dokumen pengenalan diri selain menyukarkan usaha untuk mengatasi masalah daftar lewat.


Beliau turut menyangkal dakwaan kononnya JPN Sabah mendaftarkan permohonan Mykad dan sijil kelahiran untuk warga asing, selain turut mengingatkan mana-mana pihak supaya jangan mengeluarkan sentimen seumpama itu.


"Penduduk Sabah tidak perlu risau dengan tohmahan kononnya JPN mendaftarkan Mykad kepada warga asing kerana mereka tidak layak untuk diberikan status warganegara," katanya.


Ismail berkata JPN memperkenalkan dua kategori sijil kelahiran sejak 2010 iaitu sijil kelahiran berwarna hijau iaitu khusus bagi anak bertaraf warganegara manakala sijil kelahiran berwarna merah bagi bukan warganegara.


"Kaedah ini bagi memudahkan mengenal pasti penduduk bertaraf warganegara dan bukan wargangera. Individu memegang sijil lahir merah tidak boleh membuat Mykad dan perlu ke Jabatan Imigresen bagi mendapatkan pasport.- BERNAMA