Peruntukan tersebut diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi ketika Majlis Ramah Mesra Bersama Pelajar-Pelajar Perak di Mesir di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah Mesir semalam.

Dalam kenyataannya, Asmuni berkata, peruntukkan khas tahunan itu diluluskan setelah mengambil kira pelbagai aspek melibatkan kebajikan pelajar-pelajar terlibat.

“Peruntukan ini antara lain bagi menampung kos tambang dan pengangkutan pelajar, pelaksanaan program secara berkala dan kos pengurusan pejabat serta pembayaran bil utiliti termasuklah air dan elektrik di Wisma Perak Baitul Rahman di Kaherah.

“Selain itu, ia juga untuk menampung kos perubatan pelajar dan sumbangan khusus kepada mereka sekiranya ada dalam kalangan ahli keluarga menerima musibah atau kematian,” katanya.

Asmuni berkata, sebelum ini kerajaan negeri telah meluluskan peruntukkan sama sebanyak RM50,000 semasa lawatan delegasi kerajaan negeri ke Mesir pada Ogos lalu.

Bagaimanapun beliau berkata, setelah menilai keperluan daripada pelbagai aspek, kerajaan negeri telah menaikkan peruntukkan tersebut kepada RM200,000 setahun.

“Kami mengambil maklumat secara teliti dengan mengambil kira keperluan kos pengurusan pelajar-pelajar Perak di sini dan bersetuju menaikkan peruntukkan daripada RM50,000 yang dipersetujui di peringkat awal kepada RM200,000.

“RM200,000 itu termasuklah kos sewaan bas untuk para pelajar kita di sini, kos pengurusan pejabat dan pembayaran utiliti Wisma Perak,” katanya. - UTUSAN ONLINE