ALOR SETAR 11 Nov. - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah hari ini membentang Bajet Kedah 
2019 berjumlah RM768 juta dengan  defisit RM57.78 juta berbanding anggaran hasil sebanyak RM710 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, bajet itu bersifat realistik dengan penurunan defisit sebanyak 8.14 peratus berbanding 10.19 peratus dalam Bajet 2018.

“Anggaran ini dijangka lebih realistik untuk dicapai berbanding RM779.5 juta yang dianggarkan bagi 2018. Setakat 5 November 2018, jumlah hasil sebenar yang dicatat adalah RM 475.35 juta, iaitu 60.98 peratus dari yang dianggarkan dalam Bajet 2018.

“Dengan mengambilkira anggaran hasil dan perbelanjaan kerajaan, Bajet 2019 menganggarkan defisit sejumlah RM 57.78 juta, atau 8.14 peratus iaitu  penurunan berbanding 10.19 peratus pada 2018,” katanya dalam Ucapan Bajet 2019 di Dewan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

MUKHRIZ Mahathir Bajet Kedah 2019
MUKHRIZ Mahathir ketika membentangkan Bajet Kedah 2019 dalam Dewan Undangan Negeri hari ini. - UTUSAN ONLINE/BERNAMA

Bajet 2019 merupakan bajet sulung kerajaan PH Kedah selepas mengambilalih tampuk pemerintahan negeri melalui Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei lepas.

Katanya, kerajaan negeri mencadangkan peruntukan perbelanjaan mengurus sebanyak RM 768 juta meliputi antaranya, sebanyak RM108 juta diperuntukkan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.
 
Ucap Mukhriz, di bawah peruntukan mengurus, pecahan yang diperuntukkan adalah RM248 juta bagi pembayaran emolumen;
 RM162 juta bagi pembayaran perkhidmatan dan bekalan; RM153 juta bagi pemberian dan kenaan bayaran tetap; RM16 juta bagi pembelian aset; RM5.8 juta bagi lain-lain perbelanjaan; dan RM75 juta bagi bayaran tertanggung kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri  sedar bahawa Bajet 2019 yang dibentangkan ini tidaklah luar biasa dan menakjubkan. 

“Tetapi, begitulah hakikat sebenar mengenai kedudukan kewangan negeri ketika ini. Sebanyak itu sahaja wang yang kita ada, maka kita mengambil pendekatan yang realistik dan berhemah dalam menguruskan perbelanjaan negeri. 

“Kerajaan negeri tidak mahu merangka belanjawan yang “syok sendiri” dengan mengumumkan pelbagai projek mega dan peruntukan besar padahal dana untuk menunaikan janji-janji tersebut tidak mencukupi,” katanya. - UTUSAN ONLINE