Kehadiran beliau untuk merasmikan acara sebelum berlari bersama-sama peserta dilihat memeriahkan lagi acara anjuran Gerakan Belia 4B Pasir Puteh, Majlis Belia Jajahan (MBJ) Pasir Puteh dan Gerakan Belia 4B Negeri itu.

Pengerusi Gerakan Belia 4B, Pasir Puteh, Nurul Hazizi Ismail berkata, program yang julung kali diadakan itu melibatkan 178 peserta larian dari seluruh daerah termasuk pelajar sekolah berdekatan.

Menurutnya, amalan gaya hidup sihat dan mengajak belia aktif dalam komuniti serta sentiasa berketerampilan adalah objektif utama penganjuran acara.

“Kita menetapkan tiga kategori larian yang melibatkan peserta sekolah rendah sejauh tiga kilometer (km), sekolah menengah 4km dan kategori belia serta dewasa sejauh enam km.

“Peserta juga amat teruja dengan penyertaan Cik Puan Sofie Louise yang turut mengambil bahagian menyertai larian bagi menyedarkan rakyat kepentingan aktiviti sukan dan riadah untuk kesihatan diri,” katanya ketika ditemui di PPD Pasir Puteh hari ini.

Yang turut hadir dan menyertai larian ialah Ketua Pegawai PPD Pasir Puteh, Harun Yusof dan Pengerusi 4B Negeri, Shahrul Fadhel Abd. Aziz.

Cik Puan Sofie Louise Johansson
BARISAN pemenang White Sand Colour Run bergambar bersama Cik Puan Sofie Louise Johansson (tengah) di pentas utama PPD Pasir Puteh, Kelantan, hari ini. - UTUSAN ONLINE

Nurul Hazizi berkata, para pemenang bagi kategori masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai, sijil dan pingat.

“Hadiah bukan ukuran utama kerana yang lebih utama ialah kejayaan para peserta menjalani gaya hidup sihat.

“Kami bercadang untuk menjadikan White Sand Colour Run sebagai acara tahunan dengan penyertaan yang lebih ramai pada masa akan datang,” katanya. - UTUSAN ONLINE