Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, mereka yang mahu maklumat lebih lanjut juga dialu-alukan untuk melawat kawasan yang terjejas.

“Saya rasa tidak perlu dan saya menyeru mana-mana Yang Berhormat atau mana-mana pihak yang mahukan kepastian boleh hubungi pihak sekretariat terlibat serta melawat ke kawasan itu. Saya dengan beliau tiada di Malaysia,” katanya ketika diminat mengulas mengenai saranan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim kepada kerajaan negeri semalam supaya mengisytiharkan darurat bencana di Pasir Gudang.

Beliau ditemui selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen antara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Malaysia dan Anugerah Wira Sosial Iskandar Malaysia (IMSHA) bagi mempromosikan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) di Kota Iskandar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar, Datuk Ismail Ibrahim.

Dr. Sahruddin menegaskan, beliau memantau dengan rapat kes di Pasir Gudang itu dan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga sudah diarahkan untuk membuat kerja-kerja pembersihan selama 24 jam sekali gus mahu semua sisa kimia dibuang atau dibersihkan dikeluarkan daripada kawasan terlibat.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah pun mengenal pasti lokasi yang perlu diberi tumpuan, namun tidak akan didedahkan kerana khuatir mengganggu siasatan.

“Terdapat 30 kilang yang dikenal pasti, jadi kita fokus kepada semua kilang itu dan buat masa ini tiada sebarang tangkapan dibuat. Setakat ini sumber pencemaran bukan daripada sungai,” katanya. - UTUSAN ONLINE.