Itu persoalan yang menjadi misteri dan tanda-tanya daripada aktiviti mengorek pasir itu yang difahamkan sudah berjalan sejak awal Februari lalu sehingga kini.

Apa yang menghairankan, pasir yang dikorek pada jarak kira-kira satu nautika dari perairan Jelutong menggunakan dua jengkaut itu kemudiannya dilonggokkan di pesisir pantai Macallum, Georgetown di sini, untuk kegunaan yang tidak dapat dipastikan.

Menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Nazri Ahmad, pihaknya tertanya-tanya mengenai status projek korek pasir itu sama ada diluluskan pihak berkuasa khususnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang atau sebaliknya.

Ini kerana, katanya, projek itu bermula secara tiba-tiba sejak Februari lalu tanpa pihak nelayan dimaklumkan atau tanpa sebarang kajian impak alam sekitar (EIA) dibuat terlebih dahulu.

Malah, lebih dikesalkan aduan mereka kepada agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tidak mendapat maklum balas apabila aktiviti mengorek pasir itu terus berjalan sehingga kini seolah-olah di luar penglihatan pihak berwajib.

Akibatnya, tambah beliau, nelayan di negeri ini khususnya lebih 600 orang yang berpusat di perairan Jelutong dan Sungai Pinang terjejas mata pencarian akibat pencemaran laut disebabkan lumpur dan kelodak daripada aktiviti mengorek pasir tersebut.

Malah, katanya, peralatan menangkap ikan nelayan seperti pukat, bot dan enjin juga rosak akibat lumpur tebal menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit.

“Lebih daripada itu, kawasan yang dikorek itu juga merupakan habitat kepada anak-anak ikan, udang dan ketam untuk membiak dan semuanya kini musnah akibat aktiviti itu.

“Nelayan kini juga hilang pendapatan lebih 50 peratus dan hidup semakin terhimpit apatah lagi dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Nazri, pihaknya hairan bagaimana pemaju boleh sewenang-wenangnya mengorek pasir di kawasan laut yang sangat dekat dengan pantai itu tanpa disedari pihak berkuasa.

Ini kerana, katanya, kerja-kerja mengorek pasir itu bukan sahaja sudah berjalan sejak dua bulan lalu, malah dilakukan hampir setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga lewat malam.

Selain itu, katanya, kawasan laut yang dikorek seluas kira-kira satu kilometer persegi tersebut juga bukan kawasan yang dibenarkan untuk aktiviti terbabit yang kini dikhususnya hanya di Tanjung Piandang.

“Apa yang dapat disimpulkan, pemaju mengambil jalan mudah dengan mengorek pasir di kawasan perairan ini kerana lebih dekat dengan pantai selain pasirnya lebih banyak.

“Mereka juga dapat menjimatkan kos kerana pasir di sini boleh dikorek hanya pada kedalaman satu meter berbanding lebih 20 meter jika diambil di Tanjung Piandang,” katanya.

Dalam pada itu, Nazri turut mengingatkan pihak berwajib yang mana kerja-kerja mengorek pasir tersebut jika tidak dihentikan segera boleh membahayakan nyawa orang ramai.

Ini kerana, katanya, lumpur dan kelodak akibat pengorekan pasir akan mencemarkan hidupan laut yang ditangkap nelayan dan dijual di pasaran termasuk dengan bakteria E. coli dan Salmonela. - UTUSAN ONLINE