Nur Farhana Ibrahim, 27, yang merupakan guru Pendidikan Islam kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Desa Murni, Sungai Dua, Butterworth di sini sejak 18 Februari lalu.

Pengarah Pendidikan Negeri, Dr. Mahanom Mat Sam berkata, pihaknya telah mengeluarkan surat pertukaran di atas keperluan perkhidmatan kepada guru berkenaan baru-baru ini.

Bagaimanapun, tambah beliau, pihaknya difahamkan Nur Farhana sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan mendapat cuti sakit bermula 18 Februari sehingga semalam.

Akhbar pada Januari lalu melaporkan guru Pendidikan Islam berkenaan ditemui di Kuala Kangsar, Perak kira-kira 140 km dari sekolahnya di Balik Pulau selepas empat hari dilaporkan hilang.

Kehilangan guru itu disedari selepas suaminya gagal menghubungi wanita berkenaan yang meninggalkan barangan peribadi termasuk telefon bimbit, kereta dan dompet di sekolah.

Guru yang mempunyai seorang cahaya mata itu didakwa mengalami tekanan perasaan kerana perlu berulang-alik setiap hari dari rumahnya di Alor Setar, Kedah ke sekolah tersebut. – UTUSAN ONLINE