Aktivis politik yang juga bekas ahli DAP, Rahmad Isahak berkata, isu kebocoran kertas siasatan yang boleh diklasifikasikan sebagai berkepentingan awam itu adalah sesuatu yang serius serta amat memalukan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ini kerana, menurut beliau, kandungan kenyataan daripada pihak syarikat konsortium projek berkenaan seperti yang didedahkan menerusi dokumen itu turut melibatkan soal salah laku rasuah pemimpin politik tertentu di peringkat pentadbiran kerajaan negeri.

"Penduduk berbilang kaum negeri ini yang juga bertindak sebagai pengundi serta pembayar cukai wajar serta berhak mendapat kesahihan sebenar tentang isu berkenaan.

"Apatah lagi laporan polis juga sudah dibuat SPRM sejak lebih enam bulan lalu terhadap bloger yang memuat naik dokumen berkenaan dan sekiranya tiada sebarang tindakan, maka boleh mendatangkan persepsi negatif rakyat terhadap kewibawaan agensi berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, penganalisis politik, Raja Petra menerusi potral Malaysia Today menerbitkan beberapa artikel yang memaparkan kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas terowong dan projek jalan raya dengan anggaran RM6.3 bilion.

Berdasarkan artikel-artikel tersebut, beberapa bekas exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang dinamakan dalam dokumen berkenaan.

Sehubungan itu, SPRM pada hujung Februari lalu membuat laporan polis ekoran pendedahan dokumen siasatan tersebut.

Dalam pada itu, Rahmad berkata, kerajaan negeri juga perlu menghentikan sebarang perkembangan dalam rancangan projek terowong dasar laut ekoran laporan polis oleh SPRM tersebut bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh.

"Rakyat khususnya penduduk negeri ini berharap siasatan terhadap kes berkenaan dapat ditangani secara bebas dan profesional tanpa berkompromi dengan mana-mana pihak khususnya yang berkepentingan politik.

"Malah, mereka juga berharap mendapat maklum balas daripada PDRM atas dasar konsep 'rule of law' dalam masa terdekat berhubung hasil siasatan dokumen SPRM yang didedahkan itu," katanya. - UTUSAN ONLINE