Menceritakan lebih lanjut, Nawi yang mempunyai pengalaman mengajar selama 37 tahun itu berkata, pelajar berkenaan yang diketahuinya tidak berminat untuk belajar bagaimanapun berjaya memperoleh 4A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Katanya, perubahan ketara pelajar itu berlaku selepas dia dijemput menyampaikan ceramah di sekolah pelajar berkenaan dan sebagai mahu membalas budi, pelajar itu menerusi seorang guru menyerahkan wang RM50 kepadanya.

“Saya sebenarnya sudah lupa apa yang saya sampaikan dalam ceramah itu sehingga boleh merubah pelajar berkenaan yang lemah dan tidak minat belajar mencatatkan keputusan cemerlang dalam STPM.

“Malah, saya sehingga kini masih menyimpan wang kertas RM50 yang diberikan pelajar itu sebagai kenangan manis sepanjang saya bergelar guru dan sehingga kini juga, saya tidak tahu siapa pelajar berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2019, Nawi yang juga bekas Guru Cemerlang Gred Khas C dan berpengalaman mengajar subjek bahasa Melayu menerima wang tunai RM50,000, loket emas bernilai RM10,000 dan plak sumbangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Hadiah itu disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-48 di Spice Arena, Bayan Baru di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Pada majlis sama, Datuk Asariah Mior Shaharuddin pula dipilih penerima anugerah Tokoh Kepemimpinan Pendidikan Kebangsaan 2019 sekali gus membawa pulang hadiah yang sama.

Sementara itu, Asariah berkata, pencapaian terbaik beliau sepanjang bertugas di Kementerian Pendidikan adalah berjaya menaik taraf Maktab Perguruan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG).

Tambah beliau, usaha itu sangat bermakna ke arah melahirkan guru yang berkualiti dan berkebolehan sekali gus memperbaiki standard pendidikan negara.

“Kewujudan IPG juga membolehkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih institut berkenaan bagi tujuan latihan dalam persediaan sebagai seorang guru,” katanya. - UTUSAN ONLINE