Bagaimanapun, kedua-dua mereka tetap dikenakan kompaun RM2,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri kerana meletakkan tanda harga yang mengelirukan dan bukan dalam bahasa Melayu.

Timbalan Pengarah yang juga Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Chin Ching Chung berkata, pihaknya pada mulanya menerima aduan berhubung kes pemilik kedai terbabit yang mengenakan harga hampir RM1,000 untuk tiga biji durian jenis duri hitam, ochee dan D200 daripada seorang wanita Jun lalu.

Sehubungan itu, tambah beliau, pihaknya telah mengeluarkan notis kepada peniaga berusia 42 dan 58 tahun berkenaan supaya menyerahkan dokumen seperti invois jualan serta belian dan penyata kewangan untuk siasatan sekiranya mempunyai unsur pencatutan.

Bagaimanapun, jelasnya, hasil siasatan pihaknya mendapati harga tiga biji durian yang dijual itu munasabah dan tiada unsur pencatutan.

Namun, ujar beliau, pemeriksaan lanjut mendapati pemilik kedai itu meletakkan tanda harga mengelirukan dan mempamerkan tanda harga hanya dalam bahasa Mandarin.

“Kita juga mendapati peniaga terbabit meletakkan tanda harga RM65 hingga RM95 bagi sekilo durian jenis duri hitam hingga menimbulkan kekeliruan kerana ia tidak menyatakan dengan jelas caj sepatutnya dikenakan kepada pengguna.

“Tanda harga sedemikian menimbulkan kekeliruan kepada pengguna dan boleh dimanipulasi peniaga,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Ching Chung, berikutan itu, pihaknya mengeluarkan dua kompaun masing-masing RM1,000 kerana dua kesalahan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sepanjang musim durian kali ini, pihaknya mengeluarkan sebanyak 10 kompaun dengan nilai RM1,500 kepada peniaga-peniaga durian di negeri ini.

Ujarnya, daripada jumlah itu, tujuh kompaun membabitkan kesalahan menggunakan alat timbang dan sukat tamat tempoh serta tiada cop KPDNHEP manakala tiga lagi kerana peniaga durian tidak meletakkan tanda harga. - UTUSAN ONLINE