Dikenali sebagai Call Me Cab, aplikasi itu dibangunkan dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) dan persatuan teksi di seluruh negara termasuk Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Pemandu Kereta Sewa Negeri Pulau Pinang (PTAA).

Menariknya, negeri ini menjadi lokasi kedua pelancaran aplikasi khusus untuk pemandu teksi itu selepas diperkenalkan buat pertama kali di KLIA dan KLIA2 beberapa bulan lalu.

Menurut Yang Dipertua PTAA, Mohamad Shahimi Hadzri, berbeza dengan aplikasi e-hailing lain, Call Me Cab mengenakan tambang pada harga tetap tanpa mengira cuti umum atau waktu puncak.

Katanya, kadar tambang minimun yang dikenakan adalah RM4 dengan tambahan RM1.40 untuk kilometer seterusnya sekali gus berpatutan dan mampu bersaing dengan tambang perkhidmatan e-hailing lain.

Ujarnya, pengguna juga boleh memilih sama ada untuk menempah tiga kategori kenderaan berbeza mengikut kesesuaian mereka sama ada teksi bajet, MPV atau premium.

Paling utama, tambah beliau, aplikasi itu juga mampu menghapuskan stigma yang mana perkhidmatan teksi di negeri ini mengenakan caj terlalu mahal memandangkan tambang teksi kini tidak lagi berdasarkan penggunaan meter atau tawar-menawar.

“Sejak dilancarkan sebulan lalu, kira-kira 500 daripada keseluruhan 2,000 pemandu teksi di negeri ini sudah mula menggunakan aplikasi ini untuk mendapatkan tempahan pelanggan.

“Sambutan yang diterima juga sangat menggalakkan dan kita berharap lebih ramai pemandu teksi dan pengguna di negeri ini sama-sama menyokong dengan menggunakan aplikasi ini sebagai pilihan pengangkutan awam mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis pelancaran aplikasi Call Me Cab itu yang disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini pagi tadi.

Dalam pada itu, Kon Yeow menyifatkan pengenalan aplikasi tersebut dapat membantu pemandu teksi di negeri untuk kekal bersaing dengan perkhidmatan e-hailing sedia ada selain turut merancakkan ekonomi setempat.

Katanya, meskipun banyak syarikat menawarkan perkhidmatan e-hailing ketika ini, namun pengguna sebenarnya lebih memilih untuk menggunakan perkhidmatan teksi kerana faktor keselamatan yang lebih terjamin seperti dilindungi insuran serta menjalani pemeriksaan Puspakom.

“Namun disebabkan faktor tambang dan kecanggihan teknologi, perkhidmatan teksi sukar bersaing dan saya berharap dengan pengenalan aplikasi ini, orang ramai kembali memilih teksi sebagai pengangkutan awam mereka,” katanya. - UTUSAN ONLINE