Aktivis politik yang juga bekas ahli DAP, Rahmad Isahak berkata, selaku Pengerusi Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN), Dr. Mahathir perlu diberikan penghormatan dalam menyelami masalah rakyat negeri ini yang terkesan akibat pelaksanaan projek mega berkenaan.

Menurut beliau, Dr. Mahathir perlu didedahkan kepada permasalahan berbangkit sama ada dari sudut teknikal mahupun soal pencemaran alam sekitar serta kebajikan khususnya kaum nelayan yang terjejas akibat projek tersebut.

RAHMAD ISAHAK
RAHMAD ISAHAK 

“Pertemuan itu dapat dijadikan sebagai rujukan penting sebelum sesuatu keputusan muktamad dibuat.

“Ini juga demi kepentingan semua pihak terlibat khasnya dan penduduk negeri ini amnya yang selama ini tidak pernah bermimpi bakal wujud tiga buah pulau hasil ciptaan kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan mengadakan satu sesi taklimat khas bersama Presdien PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung projek itu susulan pertemuan Anwar bersama lebih 200 nelayan yang akan terjejas minggu lalu.

Dalam pada itu, Rahmad berkata, penduduk negeri ini juga perlu mendapat input yang sahih serta menyakinkan hasil sesi taklimat bersama Perdana Menteri kelak terutama menyentuh kepada senarai 72 syarat kelulusan laporan impak alam sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Tambah beliau, keyakinan itu khususnya berkenaan komitmen serta perancangan kerajaan negeri melalui konsortium yang dilantik mengenai isu “Offset Programme” yang dikatakan antara syarat paling mencabar untuk dipatuhi dalam pelaksanaan projek PSR tersebut. - UTUSAN ONLINE