Begitulah perumpaan yang boleh digambarkan kepada kehidupan suri rumah, Masni Haris, 36, yang tinggal di Flat Desa Wawasan di sini.

Sudahlah perlu menyara lapan anak yang masih bersekolah, suaminya yang sebelum ini berniaga secara kecil-kecilan pula kini meringkuk di dalam penjara.

Akibat kesempitan hidup juga, tiga daripada lapan anaknya ma­sing-masing berusia tujuh, sembilan dan 11 tahun tidak dapat bersekolah sejak April tahun lalu.

Menurut Masni, dia kini buntu memikirkan bagaimana untuk menyara anak-anaknya kerana tidak pernah bekerja sebelum ini sebaliknya hanya bergantung kepada pendapatan suaminya yang berniaga secara kecil-kecilan.

Lebih menambah beban, katanya, bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Skim Agenda Ekonomi Saksama (AES) oleh kerajaan negeri tidak lagi diterima disebabkan tidak mengemas kini dan kini masih dalam proses permohonan semula.

“Anak-anak pun mula dijangkiti kudis sebab tidur beralaskan karpet yang kotor kerana saya tidak mampu membeli tilam.

“Saya juga tidak mampu menyediakan apa-apa kelengkapan untuk anak-anak ke sekolah dan berharap dengan adanya bantuan daripada mana-mana pihak, mereka dapat bersekolah semula selepas ini,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Masni tetap bersyukur kerana kepayahan dan penderitaannya mendapat perhatian Zakat Pulau Pinang (ZPP) yang memberi bantuan bulanan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM500 dan bantuan makanan bernilai RM220.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ZPP, Amran Hazali yang menzia­rahi keluarga itu baru-baru ini, pihaknya akan meneliti bantuan lain yang sesuai buat keluarga berkenaan khususnya dalam memastikan anak-anaknya dapat kembali bersekolah.

“Kita akan memantau kehidupan keluarga ini dari semasa ke semasa sekiranya memerlukan apa jua bantuan bagi meringankan beban mereka,” katanya.