Menurut Presidennya, S. M. Mohamed Idris, masalah yang berlarutan sejak lebih setahun lalu itu kini semakin kerap berlaku dan meruncing sekali gus mengancam kehidupan lebih 200 nelayan pantai di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya acap kali menerima rungutan daripada nelayan terlibat yang mendakwa keadaan itu dipercayai berpunca daripada tindakan kapal pengangkut sisa lumpur dari tapak projek penambakan laut di Persiaran Gurney yang membuang bahan itu ketika dalam perjalanan ke Pulau Kendi.

Menurutnya, selain lumpur, bahan buangan lain termasuk sisa kayu dan besi turut melekat menyebabkan pukat nelayan mengalami kerosakan dan mereka terpaksa menanggung kerugian antara RM300 hingga RM7,000 seorang.

“Kita juga difahamkan ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan-nelayan di kawasan ini turut berkurangan menyebabkan hasil tangkapan mereka merosot melebihi 50 peratus setiap kali pencemaran itu berlaku.

“Sehubungan itu, SAM meminta Jabatan Perikanan negeri mengadakan perjumpaan dengan nelayan-nelayan pantai Teluk Bahang bagi membincangkan masalah ini dan masa depan kehidupan mereka yang terjejas akibat kejadian tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, bantuan atau pampasan juga wajar diberikan kepada semua nelayan yang menjadi manysa memandangkan kerugian akibat kerosakan pukat yang dialami mereka adalah besar.

Malah, katanya, nelayan juga terpaksa mengambil masa lama untuk turun semula ke laut bagi menjalankan aktiviti tangkapan kerana perlu membaiki pukat yang rosak.

Tambah beliau, pihaknya kesal walaupun masalah iitu membelenggu kehidupan masyarakat nelayan di kawasan tersebut sejak sekian lama, namun tidak ada perhatian serius atau tindakan berkesan diambil oleh pihak berkenaan.

“Kita percaya dan bimbang kesan lebih buruk akan berlaku ke atas alam sekitar dan kehidupan nelayan pantai di negeri ini jika projek penambakan laut diteruskan.

“Lihatlah apa yang berlaku di Tanjong Tokong, Gelugor, Batu Uban, Queensbay dan Persiaran Gurney yang mana kesannya dapat dirasakan sehingga kini,” katanya. - UTUSAN ONLINE