Dalam operasi itu, seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada 16 pekerja asing yang diperiksa ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah selain ada yang melanggar syarat-syarat pas.

Malah, lebih membimbangkan, PATI berkenaan juga didapati tidak membuat pemeriksaan kesihatan (Fomema) selain tidak mengambil suntikan pelalian anti typhoid yang diwajibkan ke atas pekerja-pekerja pengendali makanan.

Menurut Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen negeri, Kholijah Mohamad, isu PATI tidak seharusnya dilihat dari sudut kesalahan melanggar syarat pasport atau permit semata-mata, sebaliknya merangkumi keseluruhan aspek keselamatan.

SEBAHAGIAN warga asing dari India yang bekerja di sebuah restoran nasi kandar di Jawi, Pulau Pinang

SEBAHAGIAN warga asing dari India yang bekerja di sebuah restoran nasi kandar di Jawi, Pulau Pinang ditahan Jabatan Imigresen selepas didapati bekerja tanpa permit sah dalam operasi hari ini. - UTUSAN ONLINE

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab majikan dan pengendali makanan untuk mendapatkan vaksin imunisasi anti typhoid untuk pekerja warga asing mereka bagi mengawal penularan wabak penyakit seperti demam kepialu.

“Siasatan ke atas pemilik-pemilik perniagaan yang terlibat dalam menggajikan warga asing tanpa pas yang sah sedang giat dijalankan dan mereka boleh dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963, Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

NASI KANDAR
 

Katanya, jika sabit kesalahan, majikan yang menggajikan PATI tanpa dokumen sah boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali. - UTUSAN ONLINE