Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris berkata, kerajaan negeri juga dijangka membelanjakan RM8 bilion untuk projek itu iaitu satu jumlah yang tinggi dan boleh disifatkan pembaziran sumber awam yang besar.

“Kami amat kecewa dengan pengumuman kerajaan negeri untuk meneruskan projek tersebut setelah memperoleh kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) secara bersyarat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“PIL 1 bukan penyelesaian jangka panjang untuk masalah lalu-lintas di negeri ini dan kami amat terkejut JAS tetap meluluskan EIA walaupun projek ini mendapat bantahan daripada ramai pihak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Awal hari ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan JAS telah meluluskan EIA secara bersyarat untuk pembinaan PIL 1 yang mana kelulusan itu dimaklumkan kepada kerajaan negeri menerusi surat bertarikh 10 April lalu.

Dalam pada itu, S.M. Mohamed yang juga Presiden SAM berkata, pihaknya amat terkejut dengan sikap kerajaan negeri yang enggan mendengar maklum balas yang dibangkitkan sebahagian besar penduduk negeri ini yang telah mengambil bahagian dalam kajian EIA projek berkenaan.

“Kami mengulangi pendirian supaya kerajaan negeri tidak meneruskan PIL 1 walaupun telah memperoleh kelulusan EIA bersyarat.

“Kami juga menuntut kerajaan negeri mendedahkan 56 syarat yang dikenakan oleh JAS berhubung projek berkenaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE