Namun dek kerana harganya yang mahal sehingga mencecah hingga ratusan ringgit, dia memendamkan hasrat itu dan berazam untuk memiliki sesuatu yang lebih besar pada masa hadapan.

Berbekalkan keazaman itulah yang mendorong bekas Eksekutif Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di sebuah syarikat pelabuhan terkenal di negeri ini untuk membuka perniagaan sendiri dengan menjual barangan permainan terpakai yang diimport dari luar negara.

Bermula dengan pemasaran menerusi media sosial, kini Mohd. Faiz, 32, bersama isterinya, Nor Maizura Abdul Rahim, 35, mengorak langkah membuka sebuah kedai iaitu Hail Prelove Store di Teluk Air Tawar sejak 2014.

Pasangan yang berasal dari Kedah itu menawarkan pelbagai barangan permainan berjenama terpakai yang diimport dari Britian.

“Pada mulanya, saya berasa ragu-ragu untuk memulakan perniagaan dan hanya mendapatkan pelanggan menerusi media sosial kerana tidak yakin dengan pulangan yang bakal diterima.

“Ketika itu, saya masih be­kerja namun selepas beberapa tahun, saya mula terfikir untuk berhenti kerja bagi menjalankan perniagaan ini dengan lebih serius bersama isteri,” katanya ketika ditemui di kedainya baru- baru ini.

Jelas pemilik Diploma Kejuruteraan Awam dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, Kedah itu, ketika mula-mula berniaga, rumahnya dipenuhi pelbagai barangan permainan kanak-kanak sehingga sekiranya ada ahli keluarga mahu melawat, mereka terpaksa memberitahu lebih awal untuk memberi masa mereka berkemas.

Menurutnya, apabila memiliki kedai sendiri, dia mula mengkaji dunia permainan kanak-kanak, membina jaringan serta belajar daripada beberapa individu yang berpengalaman dalam industri barangan terpakai atau bundle bagi meningkatkan kemahiran.

Selain menggunakan modal wang simpanan sendiri sekitar RM5,000, mereka turut me­nerima bantuan daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

“Harga barangan permainan yang dijual di kedai ini bermula daripada serendah RM1 hingga mencecah ratusan ringgit bergantung kepada jenama selain stok yang terhad.

“Bagi mendapatkan barangan berkualiti, saya telah menjelajah ke Britian untuk mencari pembekal terbaik selain memastikan barangan yang dibeli di sana menepati piawaian dan tidak ditipu,” ujarnya.

Bagaimanapun, Mohd. Faiz berkata, dia tidak bergantung kepada barangan daripada satu negara semata-mata sebaliknya turut membawa masuk stok dari Singapura, Australia dan Amerika Syarikat bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan.

Selepas empat tahun membuka perniagaan, Mohd. Faiz dan iste­rinya kini menjalinkan kerjasama dengan rakan kongsi untuk membuka sebuah gudang di Shah Alam, Selangor.

Menurut Mohd. Faiz, ini sedikit sebanyak memberi peluang kepada peniaga lain untuk mendapatkan stok permainan terpakai yang diimportnya dengan harga yang lebih kompetitif.

“Keputusan membuka gudang berkenaan adalah disebabkan terdapat pelanggan kami dari seluruh negara terpaksa datang ke sini semata-mata untuk mendapatkan stok, jadi lokasi di Shah Alam lebih strategik serta memudahkan mereka.

“Ketika ini pelanggan kami bukan hanya terdiri daripada penduduk tempatan malahan dari Jepun selain terdapat beberapa kedai di Thailand turut membeli barangan kami,” katanya.

Sementara itu isterinya, Nor Maizura berkata, selain barang mainan kanak-kanak, kedai mereka kini turut menjual pakaian terpakai, barangan perhiasan rumah dan koleksi buku-buku lama termasuk yang diimport dari luar negara.

“Kami turut mendapat permintaan untuk pakaian terpakai yang diimport termasuk barang perhiasan rumah disebabkan barang-barang yang kami bawa masuk amat berkualiti walaupun sudah digunakan sebelum ini,” ­katanya.