Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, suami isteri berkenaan yang masing-masing berusia 40 dan 41 tahun cedera parah selepas ditikam dengan sebilah pisau.

Jiran mereka pula seorang lelaki berusia 45 tahun patah hidung, bengkak di mulut serta pipi serta luka di bahagian jari sebelah kiri dan kesemua mereka kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, pasangan suami isteri itu tinggal di tingkat enam, manakala jirannya pula di tingkat lima.

“Pergaduhan dikatakan bermula apabila pasangan suami isteri tersebut didakwa membaling barang yang kemudiannya masuk ke dalam rumah jirannya dan berlaku perang mulut antara mereka.

“Ketika kekecohan itu, si isteri yang merupakan warga Indonesia tidak dapat mengawal kemarahannya lalu memukul kepala jirannya dengan tin biskut sebelum menolak ibunya hingga jatuh,” katanya di sini hari ini.

Menurut Che Zaimani, akibat tindakan wanita itu, lelaki berkenaan yang marah bertindak menikam wanita berkenaan dengan pisau.

“Suami wanita berkenaan cuba menghalang dengan menumbuk jirannya sehingga berlaku pergelutan, namun dia turut ditikam pada perut dan dada,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mereka kerap bergaduh tanpa diketahui punca sebenar.

“Kita masih mencari punca sebenar pergaduhan antara jiran ini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, saksi yang juga penduduk di flat sama yang enggan dikenali berkata, sebelum ini ketiga-tiga mereka sering bergaduh kerana telah lama berselisih faham, namun tidak pernah berlaku pergaduhan yang teruk seperti semalam. - UTUSAN ONLINE