Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, pemberian tag RFID secara percuma itu akan diberikan kepada 10,000 pengguna bagi kemudahan transaksi di tiga tol kendalian pihaknya iaitu di Jambatan Pulau Pinang; Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jitra, Kedah.

Menurut beliau, program perintis awam itu merupakan inisiatif pihaknya dalam memperkenalkan penggunaan teknologi RFID bagi transaksi tol di ketiga-tiga tol terbabit bermula 15 Disember ini.

AZMAN Ismail
AZMAN Ismail (kanan) memberi penerangan kepada orang ramai mengenai teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang akan dilaksanakan di plaza tol Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) serta Jitra pada di perkarangan Queensbay Mall, Bayan Lepas hari ini. - UTUSAN ONLINE/AZMAN ASMAYATIM

Tambahnya, tag RFID PLUS yang menggunakan sistem pembayaran terbuka membolehkan pengguna lebih bebas dan fleksibel dalam melakukan pembayaran tol secara terus sama ada menerusi kad kredit atau kad debit.

“Teknologi ini juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kesesakan di plaza tol disebabkan pengguna yang tidak mempunyai baki kredit mencukupi seperti yang kerap berlaku sebelum ini.

“Dengan RFID PLUS, pengguna juga tidak lagi perlu bersusah payah menambah nilai, menukar alat peranti atau bateri,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan program perintis awam RFID PLUS itu sempena Larian Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang di Bayan Lepas, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE