Dijual pada harga hanya RM250,000 bagi pembeli rumah pertama dan pengundi di Pulau Pinang dan RM275,000 bagi pembeli rumah kedua dan bukan pengundi di Pulau Pinang, PR1MA Residensi Permatang Pauh merupakan antara projek kediaman baharu yang bukan sahaja pada harga mampu milik, malah jauh lebih rendah berbanding projek setaranya.

Lebih menarik, projek itu juga dilengkapi pelbagai fasiliti antaranya kolam renang, taman rekreasi, tadika, dewan serbaguna dan surau.

 

Dibangunkan oleh pemaju Excel Focus Properties Sdn. Bhd., projek PR1MA Residensi Permatang Pauh itu menawarkan sebanyak 1,017 unit apartment dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan keluasan 900 kaki persegi.

Projek setinggi 33 tingkat dengan dua blok dan pembeli boleh memilih sama ada mahukan unit dengan balkoni atau sebaliknya dengan setiap unit didatangkan dengan satu tempat letak kereta dan motosikal tanpa sebarang tambahan kos.

Menurut Pengarah Urusan Excel Focus Properties Sdn. Bhd., Datuk Mohamed Iqbal S. Habeeb Noohu, pembinaan projek PR1MA Residensi Permatang Pauh itu kini sudah berjalan sebanyak 45 peratus sejak dimulakan dua tahun lalu.

Katanya, projek itu juga dijangka dapat disiapkan dan diduduki pembeli mengikut perancangan iaitu pada April 2021.

Tambah beliau, setakat ini, sebanyak 60 peratus unit rumah projek itu sudah ditempah dan melihat kepada sambutan menggalakkan diterima daripada orang ramai, pihaknya menjangkakan keseluruhan unit PR1MA Residensi Permatang Pauh tersebut habis terjual sebelum hujung tahun ini.

“Begitupun masih ada masa kepada orang ramai untuk merebut baki 40 peratus lagi unit yang masih tersedia.

“Peluang untuk memiliki rumah PR1MA, Residensi Permatang Pauh ini tidak sewajarnya dilepaskan kerana selain harganya yang mampu milik dan lokasi yang strategik, kediaman ini juga menawarkan gaya hidup yang berkualiti kepada penghuninya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mohamed Iqbal, antara kelebihan lain projek ini adalah terletak kurang 05 minit dari jalan raya utama Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).

Selain itu, katanya, projek tersebut juga dikelilingi pelbagai prasarana yang memudahkan kehidupan penghuninya seperti hanya berjarak kira-kira dua kilometer (km) dari Balai Polis Seberang Jaya; UiTM Permatang Pauh (2km); Pasar Raya AEON (2.4km) dan Hospital Seberang Jaya (3.2km).

 

Tambah beliau, mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai projek Residensi PR1MA Permatang Pauh itu boleh mengunjungi galeri jualannya di Signature Avenue, Jalan Lestari, Perai yang dibuka setiap Isnin hingga Sabtu pukul 9.30 pagi hingga 6.30 petang.

Dalam masa sama, katanya, orang ramai juga boleh mengunjungi Pameran Jualan projek perumahan itu yang akan diadakan di pusat beli-belah Design Village Outlet Mall, Batu Kawan dan Quensbay Mall, Bayan Lepas selama tiga hari pada Jumaat, Sabtu dan Ahad ini bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.

 

“Selain itu, mereka juga boleh menghubungi talian 1700818717 atau melayari Facebook Excel Focus Properties Sdn. Bhd. untuk maklumat lanjut,” katanya. - UTUSAN ONLINE