Pegawai Kewangan negeri, Datuk Sarul Bahiyah Abu berkata, harga seunit kenderaan itu adalah RM184,912.50 tanpa potongan cukai namun kerajaan negeri memperoleh diskaun sebanyak RM4,990 selepas rundingan harga bersama pembekal.

Menurut beliau, kereta itu bagi menggantikan kenderaan rasmi sedia ada berasaskan jangkaan kos penyelenggaraan lebih rendah dan aspek keselamatan yang lebih baik.

Jelasnya, kereta rasmi sedia ada jenis Toyota Camry 2.5 CKD telah digunakan selama enam tahun dan tidak lagi dalam tempoh jaminan serta perlu selalu dihantar untuk dibaiki dengan membabitkan kos  penyelenggaraan yang tinggi iaitu purata sebanyak RM11,030 setahun bagi seunit (2013 –2018).

"Bagi kereta-kereta Toyota Camry 2.5 CKD sedia ada, 10 unit akan dijual melalui tender, manakala lima unit lagi masih digunakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"Sebanyak15 unit kereta rasmi Toyota Camry 2.5 CBU telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 15 Ogos 2019," katanya.

Menurut beliau, bagi kereta rasmi Ketua Menteri pula, kerajaan negeri masih menunggu maklum balas daripada pembekal mengenai stok model bersesuaian sebelum pertimbangan lanjut.

"Purata kos penyelenggaraan kereta rasmi Mercedes Benz S320 yang digunakan oleh Ketua Menteri juga telah meningkat tinggi sejak penggunaannya dari tahun 2013 iaitu sebanyak RM36,169 setahun (sehingga 2018)," katanya. - UTUSAN ONLINE