Malah, mereka turut menyifatkan perhatian itu sebagai harapan baharu kepada para nelayan yang kini buntu selepas Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilihat bersungguh-sungguh mahu meneruskan projek tersebut tanpa mengambil kira bantahan mereka.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Nazri Ahmad berkata, beliau juga berterima kasih kepada Anwar yang meskipun bukan wakil rakyat di negeri ini, namun mengambil inisiatif untuk bertemu Ketua Menteri, Chow Kon Yeow untuk membawa suara nelayan.

Tambah beliau, selaku Presiden PKR yang mana sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) turut berada di dalam barisan kepemimpinan kerajaan negeri, perhatian Anwar terhadap isu tersebut sudah semestinya sangat signifikan dan mempunyai kesan serta pengaruh yang besar.

“Sebenarnya kita tidak menyangka perjuangan nelayan, penduduk dan aktivis alam sekitar yang berarak ke Parlimen minggu lalu bagi membangkitkan isu tambakan laut ini mendapat perhatian daripada pemimpin utama negara termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar.

“Tetapi apabila Anwar sudi turun bertemu sendiri dengan nelayan di negeri ini, kita dapat berasakan nelayan sebenarnya tidak bersendirian dalam menuntut pembelaan sewajarnya dalam rancangan projek tambak laut ini,” katanya.

Semalam, Anwar mengadakan pertemuan lebih dua jam bersama kira-kira 300 nelayan, penduduk dan ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendengar sendiri kebimbangan nelayan berhubung rancangan projek tambak laut di Jeti Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini.

Dalam pertemuan itu, Anwar memberi jaminan akan mengadakan pertemuan dengan Kon Yeow dalam masa terdekat bagi membawa dan membincangkan keresahan nelayan dan penduduk negeri ini berhubung masa depan mereka ekoran rancangan projek tambak laut tersebut.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika ini merancang menambak seluas kira-kira 1,800 hektar kawasan laut di perairan selatan negeri ini untuk membentuk tiga buah pulau buatan dan dijual bagi mendapatkan dana melaksanakan projek Pelan Induk Pengangkutan (PIP) negeri bernilai RM46 bilion.

Dalam pada itu, seorang nelayan, Roland Koh berkata, beliau berharap Anwar dapat membangkitkan mengenai nasib nelayan di Tanjung Tokong di sini kepada kerajaan negeri yang sehingga kini tidak terbela selepas terkesan dengan projek tambak laut di kawasan tersebut sebelum ini.

Katanya, kerajaan negeri perlu memberi jaminan benar-benar membela nasib nelayan termasuk memberi pampasan setimpal sekiranya mahu meneruskan projek tambak laut supaya nasib seperti dialami nelayan Tanjung Tokong tidak berulang kepada nelayan Teluk Kumbar. - UTUSAN ONLINE