Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Nazri Ahmad berkata, sehingga kini, kelompok nelayan itu tidak pernah dipanggil dalam sebarang perbincangan mengenai projek itu sama ada bersama barisan kerajaan negeri mahapun konsultan projek.

Sedangkan, katanya, mereka merupakan pihak paling teruk terjejas dengan rancangan projek itu apatah lagi kawasan yang ingin ditambak kaya de­ngan sumber marin seperti ikan, udang dan ketam di negeri ini.

“Sejak sekian lama, kawasan yang ingin ditambak itu merupakan lubuk penting bukan hanya kepada lebih 5,000 nelayan di negeri ini, malah nelayan dari ne­geri lain turut mencari rezeki di situ.

“Sebab itu kami bimbang dengan masa depan kami kerana rancangan menambak laut di kawasan tersebut akan menutup periuk nasi dan punca rezeki kami,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Kerajaan negeri ketika ini merancang menambak laut di Permatang Damar Laut di sini bertujuan membentuk tiga pulau buatan yang kemudiannya dijual sebagai modal bagi menampung kos pelan induk pe­ngangkutan (PIP) negeri yang dianggarkan bernilai RM46 bilion.

Menurutnya, pihaknya sebelum ini pernah menghantar dua permohonan kepada kerajaan negeri terdahulu untuk bertemu dan berbincang namun tidak mendapat maklum balas.

Sehubungan itu, dia berharap kerajaan negeri baharu di bawah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bersedia berjumpa dengan komuniti nelayan secara tertutup memandangkan surat permohonan juga sudah dihantar.

Katanya, pertemuan itu pen­ting bagi membolehkan pihaknya membentangkan cadangan Pelan Transformasi Pemodenan Nelayan dalam memastikan nasib nelayan tetap terbela sekiranya projek tersebut kekal diteruskan.

“Kami mengambil masa selama empat bulan untuk menyediakan pelan ini yang antara lain supaya memastikan nasib dan masa depan kami dapat ditransformasikan menjadi lebih moden selaras dengan rancangan tambak laut yang mahu dijalankan.

“Antaranya supaya kerajaan negeri dapat membantu kami menyediakan bot nelayan dan jeti moden memandangkan kami kelak terpaksa menangkap ikan di kawasan laut lebih jauh selepas kawasan ini ditambak,” katanya.