Itu ayat dalam dialek Orang Asli yang sering dilaungkan oleh guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Jernang, Sungkai, Perak, Narizan Baserah, 49, terhadap 173 murid-muridnya yang terdiri daripada kanak-kanak Orang Asli supaya lebih bersemangat untuk ke sekolah setiap hari.

Malah, kata-kata itu juga dijadikan pendorong kepada ibu bapa murid-murid berkenaan dalam turut menjadikan sekolah sebagai satu lokasi penting untuk dihormati.

Narizan yang merupakan salah seorang daripada seramai 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2019 berkata, dia telah tiga tahun bertugas sebagai Guru Besar di sekolah berkenaan dan tidak menyangka akan menerima anugerah daripada McDonald’s hari ini.

“Setiap hari saya akan memberikan kata-kata semangat iaitu ‘sekolah eng, maruah eng’ untuk murid, para guru dan juga ibu bapa untuk menjaga maruah sekolah.

“Saya tekankan sekolah adalah maruah diri kita, jadi kita seharusnya melakukan yang terbaik demi menjaga martabat diri masing-masing,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2019 di Spice Arena, di sini hari ini.

Menurut Narizan, beliau menganggap semua anak muridnya seperti anak sendiri malah beliau juga lebih dikenali dengan panggilan abah dalam kalangan mereka.

“Saya telah memperkenalkan sekolah ini di peringkat kebangsaan dan saya berharap dapat membawa sekolah ini menerusi bidang tarian ke peringkat antarabangsa pula,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penerima anugerah, Mohd. Farez Atan, 36, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur berkata, beliau tidak menyangka akan terpilih untuk menerima anugerah berkenaan hari ini.

“Saya berada dalam kalangan pelajar yang kebanyakan berdepan dengan masalah miskin bandar, masalah sosial dan sebagainya.

“Saya cuba memainkan peranan sebagai perantara untuk membantu menyelesaikan masalah para pelajar dan tidak pernah jemu dalam membantu mereka,” katanya. - UTUSAN ONLINE