Pengurus Kanan MyEG Wilayah Utara, Aziz Khan Hamid Khan berkata, semakan pihaknya mendapati, dua pekerja warga asing itu telah melakukan kesalahan sehingga menyebabkan permit mereka tidak dapat diperbaharui.

Jelasnya, salah seorang daripada pekerja asing warga Bangladesh itu didapati telah ditahan kerana melanggar permit kerja dan kini dalam proses untuk dihantar pulang.

“Seorang lagi pula tidak mengemas kini pasport dan tidak melakukan pemeriksaan kesihatan yang merupakan syarat wajib untuk seseorang pekerja asing memperbaharui permit mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan, Pengurus Besar Syarikat Era Maju Ikhlas Sdn. Bhd., Chiew Keng Hwa mendakwa berlaku kelewatan dalam kemas kini pada sistem MyEG sehingga menyebabkan ada antara pekerja warga negara asing syarikat berkenaan lewat mendapatkan permit.

Keng Hwa mendakwa, dua pekerja warga asing di bawah syarikatnya sehingga kini masih tidak diberi permit selepas membuat permohonan pada 2016 di MyEG Jalan Rangoon, di sini.

Menurut Aziz Khan, sistem MyEG sentiasa dikemas kini 24 jam dan jika permohonan daripada syarikat berkenaan tidak mempunyai masalah serta mematuhi syarat yang ditetapkan, sudah pasti akan diluluskan dengan segera.

“Tidak berlaku sebarang salah guna kuasa dalam kalangan staf MyEG seperti yang didakwa Pengurus Besar syarikat berkenaan.

“Setiap pekerja menjalankan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan jika berlaku sebarang salah guna kuasa serta penyelewengan tindakan tegas akan diambil,” katanya. - UTUSAN ONLINE